Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bekas ahli parlimen Kapar umum tanding naib presiden PKR
Diterbitkan:  Mar 31, 2022 2:32 PM
Dikemaskini: 6:32 AM

Bekas ahli parlimen Kapar Manivanan Gowin mengumumkan akan bertanding jawatan naib presiden PKR dalam pemilihan parti pada Mei ini.

Dalam kenyataan hari ini, Manivanan juga timbalan ketua penerangan parti berkata dia menawarkan diri untuk bertanding naib presiden sekali gus bergandingan bersama Presiden Parti Anwar Ibrahim dan calon timbalan presiden Rafizi Ramli.

"PKR menghormati dan menghargai susuk insan yang bernama Anwar Ibrahim. Pengorbanan Anwar Ibrahim tiada bandingan. Anwar Ibrahim tetap presiden PKR.

"Baru-baru ini, kembalinya sahabatku, Rafizi Ramli ke pangkuan masyarakat Malaysia, memberi nafas dan definisi baru untuk perjuangan ini. Permulaan ini merupakan masa depan dan wadah baru PKR, gandingan dua generasi, yang veteran dan muda, yang kedua-duanya telah teruji dan terbukti.

"Berasaskan pedoman dan prinsip yang sama, saya dengan rendah diri, menawarkan diri dalam pemilihan parti yang akan datang, untuk bertanding jawatan Naib Presiden PKR," katanya.

Tambahnya, sekiranya dipilih sebagai naib presiden, dia akan berbakti kepada rakyat, bangsa dan negara berteraskan kejujuran, dedikasi dan kredibiliti.

Pengumuman Manivanan hari ini menjadikan sebanyak empat pemimpin telah pun mengumumkan secara rasmi untuk bertanding bagi jawatan naib presiden.

Selain Manivanan, Ketua Wanita Fuziah Salleh, Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad, Naib Ketua Pemuda PKR Thiben Subramaniam telah menawarkan diri untuk bertanding bagi jawatan tersebut.

Pada pemilihan parti kali ini hampir 1.2 juta ahli parti layak mengundi untuk memilih seorang presiden, seorang timbalan presiden serta empat naib presiden.

Sementara itu, pemilihan bagi ahli majlis pimpinan pusat (MPP) akan diadakan pada kongres PKR Jun ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS