Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'MySejahtera akan terus digunakan walau jika tak perlu lagi daftar masuk'

Sebagai negara yang sedang dalam peralihan ke fasa endemik, Kementerian Kesihatan (KKM) sedang menimbang untuk menghentikan penggunaan daftar masuk premis menerusi aplikasi MySejahtera.

Namun, kementerian itu merancang untuk meneruskan aplikasi itu dan mengekalkan aspek lain yang dilihat mmberi manfaat kepada khidmat penjagaan kesihatan negara.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, ia termasuklah menggunakan MySejahtera sebagai sistem rekod kesihatan digital.

“Aplikasi ini sememangnya telah banyak mempermudah dan membantu urusan kawalan pandemik Covid-19 ketika ini. KKM berpandangan masih terdapat keperluan untuk terus menggunakan aplikasi ini menerusi fungsi-fungsi yang telah tersedia walaupun selepas ini negara akan memasuki Fasa Peralihan ke Endemik.

"Pengkalan maklumat MySejahtera adalah antara yang terbesar di dunia. Oleh yang demikian, adalah sangat penting untuk terus menggunakan MySejahtera sebagai aplikasi

"Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menyarankan agar aplikasi ini terus digunakan sebagai perintis rekod kesihatan EMR yang KKM sedang kaji. Ada fungsi seperti check-in yang boleh dihapuskan, tetapi kita boleh pivot kepada fungsi lain dalam aplikasi ini,” katanya di Dewan Negara hari ini.

Dia dipanggil ke Dewan Negara untuk menjawab kebimbangan awam berkenaan pemilikan aplikasi itu dan keselamatan datanya.

Ia selepas lesen MySejahtera dilaporkan telah dijual kepada syarikat lain pada harga lebih RM300 juta. Ini menyebabkan ramai pihak bimbang data peribadi mereka yang dikumpul semalam ini telah dijual kepada pihak yang meragukan.

Khairy memberitahu Dewan Negara yang MySejahtera juga perlu dikekalkan untuk kegunaan masa depan, atas kemungkinan negara dilanda wabak baru.

Pemilikan

Berkenaan pemilikan MySejahtera, Khairy menegaskan aplikasi itu, serta modul, jenama dan data yang dikumpul, adalah milik KKM.

Katanya, pembangun aplikasi KPIsoft - yang kini dikenali sebagai Entomo (M) Sdn Bhd - hanya mengendalikan operasi platformnya.

"Tidak timbul isu ‘penjualan aplikasi MySejahtera kepada pihak swasta’, sebaliknya keputusan jemaah menteri pada bulan November lalu adalah bertujuan untuk membolehkan pemilikan MySejahtera dipindahkan sepenuhnya kepada KKM.

"Pemindahan ini bukan dari syarikat swasta kepada KKM, tetapi dari agensi kerajaan lain kepada KKM,” katanya.

Khairy juga sekali lagi menyatakan kerajaan belum membayar walau satu sen kepada Entomo/KPIsoft atau MYSJ Sdn Bhd, iaitu syarikat yang dikatakan telah setuju untuk membayar Entomo sebanyak RM338 juta untuk lesen dan harta intelek aplikasi itu.

Katanya, rundingan dengan MYSJ berkenaan jalan ke hadapan dan pengurusan MySejahtera masih berjalan dan kerajaan tiada hasrat untuk membayar jumlah sebanyak itu.

Namun, walaupun memberitahu rundingan telah mencapai peringkat akhir, dia keberatan untuk mendedahkan apa-apa berkenaan harga yang dibincang.

“Ia masih dalam rundingan dengan Perbendaharaan. Apabila keputusan telah dibuat, kerajaan akan mengumumkannya dan ia akan dibuat secara telus. Ini komitmen saya terhadap anda,” katanya lagi.

Khairy juga berkata dia akan hadir dan menjawab apa saja soalan daripada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

 

Lihat Komen
ADS