CAP gesa menteri pelajaran kawal yuran sekolah
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) memandang berat beban yuran yang terpaksa dibayar oleh ibu bapa pada permulaan persekolahan termasuk bagi yuran kelas motivasi, kelas komputer dan sumbangan untuk tabung sekolah.
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) memandang berat beban yuran yang terpaksa dibayar oleh ibu bapa pada permulaan persekolahan termasuk bagi yuran kelas motivasi, kelas komputer dan sumbangan untuk tabung sekolah.
"Ia menjadi beban kepada ibu bapa yang kurang berkemampuan yang bukan sahaja perlu membayar yuran-yuran asas ini, tetapi juga kos persekolahan tambahan," kata Presiden CAP, S M Mohamed Idris.
Katanya, keadaan menjadi semakin buruk bagi ibu bapa yang mempunyai ramai anak-anak yang bersekolah.
"Ini merupakan bayaran tambahan kepada kos membeli pakaian seragam, beg sekolah, buku kerja serta tambang ke sekolah," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Katanya, walaupun sesetengah yuran tersebut dikatakan tidak diwajibkan, tetapi ibu bapa akan merasa malu jika tidak menjelaskan bayarannya.
Selain bayaran yuran asas persekolahan yang mampu bayar oleh para ibu bapa, pihak sekolah serta pihak berkuasa pendidikan negeri sering menggunakan budibicara mereka untuk mengenakan yuran tambahan.
"Sistem seumpama itu boleh terdedah kepada penyelewengan," katanya merujuk kepada rungutan sesetengah ibu bapa mengenai adar bayaran yuran yang berbeza antara sekolah-sekolah di seluruh negara.
Perkhidmatan pilihan
Sehubungan itu, katanya, CAP menggesa Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein supaya mengawal secara langsung jenis yuran yang boleh dikenakan oleh pihak sekolah, termasuk yuran bagi program tambahan dan produk seperti majalah sekolah.
"Mesti ditetapkan had yuran yang boleh dikenakan. Kos tambahan ini hendaklah dimaklumkan lebih awal dan secara lebih jelas kepada pihak sekolah dan para ibu bapa.
"Sebaik-baiknya, kos-kos ini seharusnya disiarkan dalam akhbar-akhbar utama sebelum penggal persekolahan bermula," tambah Mohamad Idris.
CAP juga, katanya, menggesa Kementerian Pelajaran supaya menghentikan amalam menawarkan perkhidmatan pilihan, seperti tambahan kelas komputer, yang dikenakan bayaran.
"Pelajar sepatutnya menikmati semua perkhidmatan yang ditawarkan oleh sekolah bantuan penuh kerajaan secara percuma, tidak kira sama ada mereka mampu membayar yuran atau tidak," katanya.
Sebaliknya, kata beliau, mereka yang ingin berminat dengan program tambahan itu, mereka boleh mengikuti kelas tersebut di luar sekolah.

