Pengalaman memalukan dua pelancong Amerika di KL
Dua rakyat Amerika terpaksa melalui pengalaman yang memalukan sewaktu ditahan oleh pihak berkuasa imigresen sewaktu dalam percutiaan di Malaysia akhir tahun lalu.
Dua rakyat Amerika terpaksa melalui pengalaman yang memalukan sewaktu ditahan oleh pihak berkuasa imigresen sewaktu dalam percutiaan di Malaysia akhir tahun lalu.
Laporan mengenai pengalaman perit yang dilalui oleh kedua-duanya seorang peguam tentera laut dan seorang lagi bekas anggota tentera laut pada 16 November lalu, disiarkan oleh pertubuhan berita antarabangsa BBC semalam.
Peguam Wayne Wright berkata, dia sedang berjalan di Chinatown apabila ditahan oleh pihak berkuasa.
"...seorang lelaki yang berpakaian selekeh, tidak langsung nampak seperti polis atau pihak berkuasa, berjalan menuju ke arah saya dan bertanya, "Boleh saya lihat pasport awak?"
"
Mengesyaki ianya satu penipuan, Wright enggan menyerahkan pasportnya dan cuba beredar dari situ.
"Ketika itu dia menerpa ke arah saya lalu menggari saya dengan kuat, dan dia memanggil beberapa orang lagi di kalangan orang ramai di situ," ceritanya.
Wright membantah dan memberitahu mereka yang dia seorang rakyat Amerika dan pasportnya ada di hotelnya, yang terletak beberapa ratus meter dari situ.
Bagaimanapun, ia tidak dihiraukan. Peguam tersebut kemudiannya dimasukkan ke dalam trak yang dipasang besi jerejak yang digunakan oleh jabatan imigresen.
'Kerana warna kulit'
Menurut laporan BBC itu, Wright ternampak seorang lagi rakyat Amerika dalam trak tersebut bekas anggota tentera laut, Yahweh Passim Nam.
Yahweh juga ditahan kerana "enggan menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri". Trak itu sesak dengan 30 lagi tahanan, semuanya berkulit hitam seperti Wright dan Nam.
Yahweh, seorang jurutera multimedia yang menetapkan di Vancouver, Kanada mendakwa mereka semua dikenakan tindakan kerana warna kulit.
Mereka kemudiannya dibawa ke pusat tahanan imigresen di mana hampir 24 jam, mereka mendakwa hanya diberi makan roti dan air, tidak dibenarkan ke bilik air dan enggan dibenarkan menghubungi kedutaan Amerika.
"Saya dilayan tanpa berperi kemanusian," kata Nam. "Saya rasa seperti anjing, saya rasa lebih teruk daripad anjing."
Wright juga bersetuju. "Secara jujur, ini mungkin merupakan pengalaman paling teruk yang pernah berlaku dalam hidup saya," tambahnya.
Menurut kedua-duanya, mereka naik berang apabila para pegawai imigresen menganggap perkara itu sebagai satu gurauan selepas mereka dibebaskan. Kedua-duanya memiliki visa pelancong yang sah.
Pengarah Penguatkuasaan Imigresen, Datuk Ishak Mohamad tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komennya.
Begitu juga dengan komen daripada Jabatan Perdana Menteri, walaupun seorang pegawai kanannya secara peribadi meragui dakwaan kedua-dua rakyat Amerika itu.
Kedutaan Amerika di Kuala Lumpur juga mengesahkan pihaknya turut membantu membebaskan kedua-dua rakyatnya itu. Tiada tuduhan difailkan terhadap mereka.
Malaysia sedang melancarkan kempen Tahun Melawat Malaysia 2007. Beberapa rakyat Afrika yang ditemui di Kuala Lumpur, mendakwa mereka telah didiskriminasikan seperti ada yang enggan duduk di sebelah mereka dalam pengangkutan awam, teksi enggan mengambil mereka dan mereka diganggu oleh anggota polis dan imigresen.
Reaksi menteri pelancongan
Sementara itu, Muda Mohd Nor melaporkan, Menteri Pelancongan Datuk Seri Tengku Adnan Mansor berkata ia mungkin berpunca daripada salah sangka.
Ketika dihubungi malaysiakini petang ini, beliau berkata, pegawai imigresen yang menahan mereka, mungkin menyangka kedua-duanya rakyat Afrika yang sentiasa menimbul masalah di negara ini.
"Kita tidak pernah mendiskrimasikan pelancong berkulit hitam, termasuk dari benua Afrika. Tetapi pegawai imigresen mempunyai hak untuk menahan pelancong yang tidak membawa pasport, dan dihantar ke pusat tahanan imigresen," katanya.
Tahun lalu, katanya, Malaysia menerima seramai 17.5 juta pelancong asing dan kes seumpama ini dianggap kecil dan tidak menjejaskan kempen Tahun Melawat 2007.
Tengku Adnan berkata, setakat ini, pihaknya belum menerima sebarang laporan mengenai perkara tersebut.

