Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) turut mendesak kerajaan supaya mendedahkan syarat-syarat dalam perjanjian tol dengan pelbagai syarikat konsesi lebuhraya.

Ini berikutan pendedahan mengenai perjanjian tol yang berat sebelah antara kerajaan dengan Litrak dan membebankan rakyat, kata Pengerusinya, SM Mohamed Idris hari ini.

Katanya, selaku pembayar cukai, rakyat patut mengetahui semua syarat-syarat dalam sebarang perjanjian yang membabitkan kerajaan.

Ini kerana akhirnya rakyatlah yang terpaksa menanggung beban kewangan akibat perjanjian seumpama itu, katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, sebarang perjanjian yang mengandungi syarat-syarat yang tidak adil dan tidak menguntungkan rakyat harus dipinda segera, sama ada melalui rundingan atau sebaliknya.

Oleh itu, Mohamed Idris berkata, kenaikan kadar tol baru-baru ini sepatutnya dihentikan sehingga siasatan penuh mengenainya dijalankan.

Semalam, malaysiakini melaporkan dakwaan pembangkang bahawa perjanjian antara kerajaan dan syarikat konsesi Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Litrak, adalah berat sebelah dan tidak dilakukan demi kepentingan awam.

Mesin wang

Laporan itu memetik Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tian Chua sebagai berkata, perjanjian tersebut didraf sebegitu rupa di mana ia memberi kuasa yang sedikit kepada kerajaan tetapi sebaliknya menjadi Litrak 'mesin membuat wang', kata

Menurut satu dokumen yang didedahkan oleh Tian, perjanjian tersebut membenarkan syarikat konsesi itu meneruskan kutipan tol tidak kira sama ada ia mengaut keuntungan ataupun sebaliknya.

Beliau mendakwa, kerajaan tidak mempunyai banyak kuasa dalam perjanjian tersebut, sedangkan syarikat konsesi boleh meneruskan kutipan tol, tidak kira berapa banyak kutipan yang telah dibuat.

"Ini sangat berbeza dengan konsep lama pengswastaan di mana syarikat konsesi dibenarkan membuat kutipan dalam tempoh yang ditetapkan. Selepas itu, plaza tol akan ditutup dan syarikat konsesi perlu menyerahnya balik kepada kerajaan," tambahnya.

Tian juga mendakwa, kerajaan telah 'berbohong' apabila mengatakan ia sedang berunding dengan syarikat konsesi untuk mengurangkan kadar tol, sedangkan kadarnya telah ditetapkan di bawah perjanjian untuk keseluruhan tempoh konsesi selama lebih 30 tahun sejak 1998.

Sebagai contohnya, di bawah jadual bayaran tol yang dipersetujui, kenderaan kelas 1 yang menggunakan LDP perlu membayar RM1.50 dari tahun 1998 hingga 2006, RM2.10 dari tahun 2007 hingga 2015 dan RM3.10 bagi tahun 2016 hingga akhir tempoh konsesi.

Pemimpin PKR itu berkata, cara pengiraan kos yang dibuat adalah tidak telus dan tidak juga diperjelaskan.

Pada 14 Disember lalu, kerajaan mengumumkan kenaikan kadar baru tol di lima lebuhraya LDP, Lebuhraya Shah Alam, Lebuhraya Cheras-Kajang, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dan Lebuhraya Koridor Guthrie yang dinaikkan antara 20 hingga 60 peratus berkuatkuasa 1 Januari lalu.

Pengumuman itu mendapat bantahan pelbagai pihak termasuk parti komponen Barisan Nasional MCA yang mengadakan demonstrasi Jumaat lalu di lebuhraya LDP, manakala gabungan parti pembangkang dan pertubuhan sivil merancang mengadakan bantahan besar-besaran Ahad ini.