PRU15: Bersatu beri Muhyiddin mandat bincang strategi dengan parti lain
Majlis Tertinggi Bersatu memberi mandat penuh kepada presiden parti Muhyiddin Yassin untuk membincangkan strategi parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang bersama parti-parti politik lain.
Dalam satu kenyataan, Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin berkata keputusan itu dibuat pada mesyuarat semalam, yang dipengerusikan oleh Muhyiddin.
“Majlis Tertinggi Bersatu telah membincangkan hal-hal berkenaan pengurusan parti, perkembangan politik tanah air dan keputusan pilihan raya negeri Johor 2022 yang diadakan pada 12 March lalu.
“Sehubungan itu, MT Bersatu memutuskan untuk memberikan mandat penuh kepada Biro Politik yang dipengerusikan oleh presiden untuk membincangkan strategi parti bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU) yang akan datang bersama parti-parti politik lain,” katanya.

