Isu jambatan dijangka hangatkan pilihanraya Batu Talam
Isu pembinaan jambatan batu di Kampung Gersing yang tertangguh sejak 20 tahun lalu dijangka menjadi bahan hangat kempen dalam pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Talam dalam daerah Raub, Pahang hujung bulan ini.
Isu pembinaan jambatan batu di Kampung Gersing yang tertangguh sejak 20 tahun lalu dijangka menjadi bahan hangat kempen dalam pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Talam dalam daerah Raub, Pahang hujung bulan ini.
Kerusi Batu Talam kosong berikutan kematian wakilnya Datuk Tengku Paris Tengku Razlan, 66, dari Barisan Nasional (BN) akibat kanser paru-paru pada 27 Disember lalu.
Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) telah menetapkan hari penamaan calon pada 16 Januari ini dan jika berlaku pertandingan, pengundian akan diadakan pada 28 Januari.
Menurut ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Raub, Datuk Sulaiman Ahmad, kerajaan negeri telah berjanji untuk membina jambatan tersebut sejak Rancangan Malaysia Keempat (RMK4) lagi.
"Penduduk sangat kecewa kerana jambatan yang dijanjikan itu belum dibina walaupun sudah 20 tahun berlalu...mereka tidak tahu sehingga bila perlu menanti," katanya.
Tanpa jambatan tersebut, katanya, penduduk terpaksa bergantung kepada sebuah jambatan gantung yang menghubungkan Kampung Gersing ke Kampung Sengkala dan untuk ke pekan Batu Talam.
Tidak puas hati
"Kerana kecewa ramai penduduk yang berpindah walaupun mereka sudah berpuluh tahun tinggal di Kampung Gersing dan Kampung Sengkala," katanya.
Sulaiman berkata, 20 tahun lalu jumlah penduduk Kampung Gersing dan Kampung Sengkala serta beberapa kampung sekitarnya dianggarkan seramai 200 keluarga, tetapi kini sudah meningkat kepada 700 keluarga.
Katanya, kegagalan kerajaan negeri membina jambatan tersebut menjadi buah mulut penduduk setempat termasuk ahli-ahli Umno sendiri, yang tidak puashati dengan kelewatan pembinaannya.
"Rakyat bosan kerana kerja-kerja mengukur tanah di Kampung Gersing untuk projek pembinaan jambatan tersebut sudah dilakukan beberapa kali, tetapi sehingga kini satu tiang pun tidak ada," katanya lagi.
Penduduk juga, katanya, turut menghantar surat rayuan kepada kerajaan negeri melalui ketua Umno bahagian itu, Datuk Shahiruddin Ab Moin yang juga Exco Kerajaan Negeri, tetapi juga tidak berhasil.
Selain itu, tambahnya, penduduk di kebanyakan tempat di kawasan Batu Talam merungut kerana telefon bimbit tidak boleh digunakan di kawasan itu kerana tidak ada liputan.
Liputan telefon bimbit
Menurut Sulaiman lagi, isu pembinaan jambatatan serta masalah liputan telefon bimbit telah dibangkitkan dalam beberapa mesyuarat cawangan Umno Bahagian Raub pada Mei dan Jun tahun lalu.
"Saya rasa pihak-pihak berkenaan perlu memberi perhatian terhadap kedua-dua masalah tersebut menjelang pilihanraya kecil nanti," katanya lagi.
Ditanya mengenai peluang BN dalam pilihanraya kecil itu, Sulaiman yakin BN akan menang kerana pengaruh PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sangat kecil kerana ahlinya tidak ramai.
Semalam Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menetapkan hari pembuangan undi untuk pilihanraya Dalam pilihanraya umum 2004, Tengku Paris mengalahkan calon PAS Mohamed Nilam Abdul Manap dengan majoriti 2,761 undi. Ada 10,866 pengundi berdaftar ketika itu.
Bagaimanapun, jumlah itu menurun kepada 10,525 termasuk 14 undi pos yang terdiri daripada anggota polis yang berkhidmat di kawasan tersebut.

