Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ALR jelaskan peranan dalam penstrukturan tol empat lebuh raya
Diterbitkan:  Apr 8, 2022 10:25 PM
Dikemaskini: 2:25 PM

Amanat Lebuhraya Rakyat Berhad (ALR) hari ini menjelaskan peranannya dalam penstrukturan semula tol bagi empat lebuh raya utama di Lembah Klang seperti diumumkan oleh Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini.

Ini selepas pengkritik mempersoalkan perincian mengenai syarikat swasta tersebut, yang diumum akan mengambil alih empat lebuh raya itu dan bagaimana ia akan memulangkan semula konsesi lebuh raya terbabit kepada kerajaan.

Dalam satu kenyataan, ALR berkata pengambilalihan berkenaan merupakan sebahagian daripada cadangan penstrukturan semula tol bagi empat lebuh raya tersebut

ALR menjelaskan bahawa syarikat swasta itu "bukan berlandaskan keuntungan" dan pemegang sahamnya tidak berhak mendapat sebarang dividen.

Menurutnya, tanpa keperluan untuk membayar dividen kepada pemegang saham, aliran tunai bebas syarikat konsesi kini boleh disalurkan sepenuhnya ke arah menyelesaikan obligasi pembiayaan hutang.

ALR berkata, syarikat itu dijangka akan menerima penarafan kredit yang kukuh, sekali gus membolehkan syarikat itu menggunakan pasaran modal bagi membiayai pemerolehan lebuh raya terbabit.

Selain itu ALR juga menjelaskan bahawa ia adalah bebas dan tidak berkait dengan kerajaan atau pemegang saham syarikat konsesi sedia ada; serta tidak mewakili mana-mana parti politik.

ALR sebelum ini menawarkan untuk membeli konsesi Lebuhraya Shah Alam (Kesas), Lebuh Raya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (Lebuhraya Sprint), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dan Sistem Pengurusan Air Banjir dan Terowong (Smart) dengan nilai perusahaan agregat sebanyak RM5.48 bilion.

Berikut penjelasan penuh ALR:

Amanat Lebuhraya Rakyat Berhad (“ALR”) telah membuat tawaran untuk mengambilalih keseluruhan kepentingan ekuiti syarikat konsesi berkaitan empat lebuh raya, iaitu KESAS, LDP, SPRINT dan SMART dengan nilai perusahaan agregat sebanyak RM5.48 bilion.

Pengambilalihan ini akan merangkumi semua infrastruktur dan asset yang sedia ada di keempat-empat lebuhraya tersebut termasuklah aset yang penting sekali, iaitu warga kerja syarikat-syarikat konsesi tersebut. Tiada warga kerja yang akan diabaikan dalam proses pengambilalihan ini.

Pengambilalihan ini merupakan sebahagian daripada cadangan penstrukturan semula tol bagi empat lebuh raya tersebut, seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob dan Menteri Kerja Raya Malaysia, YB Dato’ Sri Fadillah Bin Yusof pada 4 April 2022.

Sebagai pemegang saham dan Pengarah ALR, kami ingin memberikan penjelasan lanjut mengenai cadangan pengambilalihan ini dari perspektif ALR.

Keadaan semasa

Kini, pengguna-penguna empat lebuh raya tersebut membayar caj tol yang lebih rendah berbanding amaun yang layak diterima oleh syarikat konsesi berdasarkan perjanjian konsesi masing-masing, di mana perbezaan pampasan dibayar oleh Kerajaan supaya tidak membebankan semua pengguna lebuhraya.

Sebagai contoh, dalam kes KESAS (dimana konsesinya akan tamat pada Ogos 2028), pengguna hanya perlu membayar RM2.00 bagi setiap kenderaan Kelas 1 walaupun perjanjian konsesi menetapkan kadar tol RM3.00 bagi setiap kenderaan Kelas 1.

Oleh itu, pampasan Kerajaan kepada syarikat konsesi ialah RM1.00 bagi setiap kenderaan Kelas 1. Bagi kes SMART pula (dimana konsesinya akan tamat tempoh pada Disember 2042), perjanjian konsesi menetapkan kadar tol RM5.00 bagi setiap kenderaan Kelas 1, dan dijangka meningkat kepada RM7.00 menjelang 2030, manakala pengguna pada masa ini hanya membayar RM3.00.

Tanpa sebarang penstrukturan semula, terdapat dua senario yang akan timbul apabila kadar trafik terus meningkat. Pertama, Kerajaan terpaksa terus membayar pampasan tol yang semakin meningkat, atau kedua, kadar tol dinaikkan dan mengakibatkan pertambahan beban kewangan yang lebih tinggi kepada pengguna lebuh raya. Jelas sekali, kedua-dua senario ini adalah tidak ideal.

Penyelesaian kepada situasi ini adalah jelas: Kadar tol syarikat konsesi perlu ditetapkan kepada kadar semasa, dengan serta-merta menyingkirkan (a) sebarang keperluan untuk Kerajaan membayar pampasan; dan (b) sebarang risiko kenaikan tol pada masa hadapan yang merugikan pengguna lebuh raya.

Walau bagaimanapun, kita semua perlu maklum bahawa dalam mana-mana penstrukturan semula tol, tempoh konsesi perlu dilanjutkan bagi mengimbangi kehilangan pendapatan bagi syarikat-syarikat konsesi dan pembayaran balik kesemua hutang-hutang pemegang Sukuk.

Saranan nilai dan perbezaan utama ALR

Cadangan ALR merupakan satu cadangan yang unik kerana ia bertujuan untuk mengurangkan tempoh lanjutan konsesi yang diperlukan. Secara ringkasnya, ALR akan memulangkan konsesi lebuh raya kepada Kerajaan setelah semua hutang dibayar sepenuhnya.

Dua faktor kritikal yang menjayakan struktur inovatif ini adalah seperti berikut:

(i) Pemegang saham ALR tidak memerlukan sebarang pulangan ekuiti.

Seperti yang akan termaktub dalam Perlembagaan ALR, dokumen pembiayaan dan aku janji kepada Kerajaan, pemegang saham ALR tidak berhak untuk menerima sebarang dividen.

Sehubungan dengan ini, tidak ada keperluan untuk memanjangkan lagi tempoh konsesi sebaik sahaja kesemua hutang ALR telah dibayar sepenuhnya.

Memandangkan vendor-vendor syarikat konsesi adalah entiti komersial, pertukaran orientasi kepada “tidak berasaskan keuntungan” tidak dapat dilaksanakan di bawah struktur pemilikan yang sedia ada. Justeru, cadangan untuk ALR mengambil alih syarikat konsesi.

(ii) ALR mengurangkan kos modal melalui pembiayaan hutang.

Tanpa keperluan untuk membayar dividen kepada pemegang saham, aliran tunai bebas syarikat konsesi (selepas memenuhi keperluan operasi) kini boleh disalurkan sepenuhnya ke arah menyelesaikan obligasi pembiayaan hutang. Memandangkan profil aliran tunai dikhususkan ke arah melunaskan hutang, ALR dijangka akan menerima penarafan kredit yang kukuh, sekali gus membolehkan kami menggunakan pasaran modal bagi membiayai pemerolehan tersebut (termasuk pembayaran balik hutang sedia ada).

Bagi melancarkan urusan kami dalam tujuan penerbitan Sukuk, kami telah melantik konsortium bank-bank yang bereputasi tinggi. Sekali lagi ditegaskan disini, ALR tidak akan meminta bantuan kewangan Kerajaan untuk menjamin Sukuknya.

Ekoran dari tujuan yang disebut di atas dan juga berdasarkan unjuran trafik oleh perunding trafik bebas (dimana ia telah mengambil kira, antara lain, keseluruhan GDP, impak pandemik, pembangunan masa depan serta jalan raya lain dan pengangkutan alternatif), kami menjangkakan bahawa ALR akan dapat mempercepatkan kesemua pembiayaan hutang yang diambil dan memulangkan keempat-empat lebuh raya kepada Kerajaan dalam masa yang bersesuaian.

Komitmen pemegang saham dan ahli lembaga pengarah ALR

Akhir sekali, kami ingin memberi pencerahan mengenai penglibatan kami sebagai pemegang saham dan pengarah ALR.

Secara peribadi, kami yakin dan percaya dengan merit penstrukturan semula ini, di mana negara dan rakyat akan mendapat manfaat sepertimana yang telah dihuraikan di atas. Kami juga secara sukarela bersetuju untuk berkhidmat di ALR dan bertindak sebagai pengantara sektor swasta bagi memudahkan transaksi-transaksi ini.

Sehubungan ini, kami ingin mengesahkan perkara-perkara berikut:

• Kami bebas dan tidak berkait dengan Kerajaan atau pemegang saham syarikat konsesi yang sedia ada;

• Kami tidak mewakili atau menjadi penama kepada mana-mana parti politik mahupun sekutunya;

• ALR akan menegakkan standard tertinggi dalam tadbir urus korporat dan integriti, serta menjaga kepentingan pemegang-pemegang Sukuk;

• ALR komited untuk mengekalkan standard perkhidmatan tinggi yang sedia ada, dengan mengutamakan keselamatan pengguna-pengguna lebuh raya;

• ALR akan memastikan pematuhan berterusan terhadap peraturan dan keperluan Lembaga Lebuhraya Malaysia dan perjanjian konsesi masing-masing;

• Sebaik sahaja amanat kami untuk memulangkan konsesi-konsesi tersebut kepada pihak Kerajaan dapat dicapai, sekiranya ada lebihan baki, kami diwajibkan oleh Kerajaan untuk menyalurkan baki tersebut ke arah kos penyelenggaraan lebuhraya-lebuhraya atau penambahbaikkan mobiliti dalam bandar bagi pengguna-pengguna lebuhraya;

• Kami tidak berhak untuk menerima sebarang dividen atau pengagihan pemegang saham daripada ALR;

Kami, dengan rendah diri, berharap bahawa rekod prestasi kami secara kolektif dalam sektor awam dan swasta akan menjadi saksi terhadap ketulusan dan keikhlasan niat kami bagi memudahkan penstrukturan semula tol untuk manfaat semua pihak berkepentingan yang terlibat.

Untuk dan bagi pihak Amanat Lebuhraya Rakyat Berhad,

Tan Sri Azlan Mohd Zainol

Dato' Idrose Mohamed

Dato' Ir Soam Heng Choon

Dato' Dr Nirmala Menon

Dato' Mohamed Sharil Tarmizi

Lihat Komen
ADS