Naib Ketua Umno bahagian Raub Datuk Ir Azinudin Abdul Rahim disebut-sebut sebagai calon utama untuk dipilih mewakili Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya kecil Batu Talam hujung bulan ini.

Turut disenaraikan sebagai calon ialah Timbalan Ketua Umno bahagian Raub Datuk Mustaffa Kamal Abdul Hamid.

Azinuddin adalah seorang ahli perniagaan manakala Mustaffa Kamal adalah pengurus besar anak syarikat perladangan milik Lembaga Kemajuan Negeri Pahang.

Mereka adalah antara lima calon yang dikemukakan oleh Umno bahagian tersebut kepada Pengerusi Umno negeri, Datuk Seri Adnan Yaakob yang juga Menteri Besar Pahang untuk dipilih sebagai calon dalam pilihanraya kecil Batu Talam pada 28 Januari ini.

Tiga lagi yang dicalonkan itu ialah Setiausaha Umno bahagian, Abdul Aziz Kiram; Ketua Wanita Jariah Hashim dan Ketua Pemuda,Tengku Abdul Rahman Tengku Perang.

Manakala dua lagi calon dipilih sendiri oleh Adnan ahli Jawatankuasa Umno Raub, Datuk Abdullah Bakar dan seorang calon dari bahagian lain untuk dikemukakan kepada Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi..

Ketua Puteri Umno Bahagian Raub, Rosmiley Bontat berkata, senarai lima calon pilihan bahagian berkenaan diputuskan dalam mesyuarat dengan Adnan malam tadi.

Kriteria utama

Ketua Umno bahagian Raub, Datuk Shahiruddin Ab Moin mengetuai Umno bahagian dalam mesyuarat tersebut, yang turut dihadiri oleh wakil wakil Pemuda, Wanita dan Puteri bahagian.

Turut hadir ialah Setiausaha Umno negeri, Datuk Tajuddin Ali (Setiausaha); Ketua Pemuda Negeri, Khairuddin Yaakub dan Ketua Wanita Negeri, Datuk Maznah Mazlan.

"Datuk Seri Adnan memberitahu bahawa beliau akan meneliti senarai calon tersebut dan pemilihannya bergantung kepada beberapa kriteria terutama disenangi masyarakat setempat.

"Selain itu, Menteri Besar juga akan mendapatkan pandangan terlebih dahulu dari komponen BN lain sebelum keputusan muktamad dibuat," kata Rosmiley lagi.

Rosmiley berkata, siapa sahaja yang dipilih sebagai calon BN, pihaknya akan diberi sokongan padu bagi memastikan kemenangan dalam pilihanraya kecil Batu Talam.

Katanya, Puteri akan menggerakkan jenteranya dengan tumpuan kepada pengundi di kawasan pedalaman kerana mereka lebih mudah terpengaruh dengan dakyah pembangkang.Kerusi Batu Talam kosong berikutan kematian wakilnya Datuk Tengku Paris Tengku Razlan, 66, dari Barisan Nasional (BN) akibat kanser paru-paru pada 27 Disember lalu.

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) telah menetapkan hari penamaan calon pada 16 Januari ini dan jika berlaku pertandingan, pengundian akan diadakan pada 28 Januari.