Bekas wakil rakyat saran BN pilih calon tempatan
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Talam, Datuk Syed Ali Syed Mohamad yakin Barisan Nasional (BN) mampu memperolehi majoriti yang lebih tinggi sekiranya ia menurunkan anak Batu Talam dalam pilihanraya kecil DUN tersebut hujung bulan ini.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Talam, Datuk Syed Ali Syed Mohamad yakin Barisan Nasional (BN) mampu memperolehi majoriti yang lebih tinggi sekiranya ia menurunkan anak Batu Talam dalam pilihanraya kecil DUN tersebut hujung bulan ini.
"Contohnya, saya seorang saja yang mewakili Batu Talam merupakan anak jati Batu Talam. Yang lain semua dari luar, itulah sebabnya kita dapat bandingkan, masa saya dulu, peratusan undi saya tu terlalu tinggi, tinggi bukan kerana peribadi saya, sangat tapi kerana saya anak Batu Talam," katanya kepada Bernama.
Syed Ali pernah mewakili Barisan Nasional (BN) di Batu Talam selama dua penggal sebelum kerusi Batu Talam disandang Allahyarham Datuk Tengku Paris Tengku Razlan sejak tahun 1999.
Tambahnya, sikap penduduk Batu Talam juga mudah dijangka kerana mereka setia kepada satu-satu pihak dan tidak pernah timbul masalah pengundi atas pagar.
"Ketulenan penduduk Batu Talam ini saya amat hargai, dia punya perangai, kalau dia lawan, dia duduk sebelah lawan, kalau dia duduk sebelah yang menyokong, dia duduk sebelah sini betul-betul, tapi duduk atas pagar bukan perangai penduduk sini," katanya lagi.
Menurut Syed Ali, Batu Talam secara tradisi merupakan kubu kuat BN walaupun parti pembangkang PAS sering mencuba nasib setiap kali pilihanraya.
Majoriti pengundi Melayu
"Buktinya Batu Talam tak pernah kalah, yang berbeza hanya peratus pengundian dan majoriti undi yang diperolehi setiap calon," katanya.
Majoriti 10,525 pengundi Batu Talam adalah penoreh getah, iaitu Melayu (8,583) diikuti Cina (1,228) dan kaum India (597). Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menetapkan 16 Januari sebagai hari penamaan calon dan hari pengundian pada 28 Januari.
Sementara itu, bekas Ketua Kampung Batu Talam Mohamad Yusuf Mat Sah, 70, berharap bakal calon mempunyai ciri-ciri bekas wakil rakyat Allahyarham Tengku Paris yang baik budi bicara dengan masyarakat dan amat prihatin.
"Kita harap wakil rakyat baru ni nanti ikut jejak yang lepas, yang lepas ni beratkan orang kampung, itu yang kita nak," katanya.
Mohamad Yusuf berkata permohonan yang harus disegerakan ialah penubuhan sebuah sekolah menengah kebangsaan di Batu Talam yang kini hanya mempunyai sebuah sekolah rendah dan sebuah sekolah menengah agama.
Pelajar yang bersekolah di sekolah menengah kebangsaan yang terletak di Raub terpaksa menanggung kos pengangkutan tinggi iaitu sebanyak RM40 seorang sebulan.
Senarai pendek calon
Kerusi DUN Batu Talam kosong berikutan kematian wakil rakyatnya Tengku Paris akibat penyakit barah paru-paru dan usus 27 Disember lalu.
Allahyarham Tengku Paris menyandang jawatan itu selama dua penggal bermula tahun 1999. Dalam pilihanraya umum 2004, allahyarham menewaskan calon PAS Dr Mohamed Nilam Abdul Manaf dengan majoriti undi 2,761.
Menurut Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, calon dari golongan profesional dan muda adalah antara tujuh nama calon yang disenarai pendekkan bagi mewakili BN dalam pilihanraya kecil itu nanti.
Sementara itu, Bernama juga melaporkan, Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohamed Ali Rustam meminta jentera parti seluruh negara bergerak mulai sekarang bagi memastikan BN berjaya mempertahankan kerusi Batu Talam.
Oleh itu, katanya jentera parti termasuk Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri tidak harus menunggu sehingga hari penamaan calon pada 16 Januari untuk menyusun strategi.
"Kepimpinan parti telah menetapkan kawasan angkat untuk jentera parti setiap negeri menjaga kawasan peti undi, maka semuanya harus bergerak mulai sekarang," katanya di Seremban malam tadi.
Ujian kekuatan Umno
Beliau juga Ketua Menteri Melaka mengingatkan ahli parti supaya jangan memandang ringan pilihanraya kecil itu kerana ia merupakan ujian terhadap sejauhmana kekuatan Umno serta BN dalam menghadapi pilihanraya umum akan datang.
"Tiada maknanya kita mempamerkan kekuatan parti jika ia tidak dapat diterjemahkan pada pilihanraya umum," katanya.
Mohamed Ali yang juga Pengerusi Biro Latihan Umno berkata semakan yang beliau lakukan bersama Setiausaha Agung parti Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad mendapati masih ramai ahli Umno yang belum mendaftar sebagai pemilih.
Beliau mengingatkan bahawa parti pembangkang kini giat mendaftarkan anggota serta penyokong mereka sebagai pemilih bagi menghadapi pilihanraya umum nanti.
Mohad Ali juga mengingatkan wakil rakyat Umno supaya sentiasa turun padang dan mengambil berat terhadap masalah yang dihadapi penduduk di kawasan masing-masing.
"Jangan tunggu bila dah nak dekat pilihanraya baru berjumpa dengan rakyat bagi meraih sokongan," katanya.

