Mengapa persalahkan kakitangan awam, kata Lim
Sebarang kelemahan dalam pelaksanaan dasar-dasar kerajaan harus dipertanggungjawabkan ke bahu penggubal dasar-dasar itu sendiri, kata Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang.
Sebarang kelemahan dalam pelaksanaan dasar-dasar kerajaan harus dipertanggungjawabkan ke bahu penggubal dasar-dasar itu sendiri, kata Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang.
Katanya, jika sesuatu dasar itu gagal dilaksanakan, ia bermakna mereka gagal menggubal dasar-dasar yang baik.
Oleh itu, kata Lim, kelemahan tersebut tidak seharusnya dipersalahkan kepada pelaksana dasar-dasar tersebut atau menyalahkan kakitangan awam.
Beliau menegaskan demikian dalam satu kenyataan semalam sebagai mengulas rumusan seminar kebangsaan yang menilai pencapaian Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sepanjang tempoh tiga tahun pentadbirannya..
Lim berkata, akhbar New Straits Times telah merumuskannya di bawah tajuk berita dasar 'kelas pertama', tetapi pelaksanaannya lemah.
Manakala pensyarah Sains Sosial Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Sivamurugan Pandian pula, kata Lim, merumuskan kadangkala pembuat dasar gagal menjelaskan mengenai dasar yang digubal itu kepada agensi-agensi pelaksananya.
Akibatnya, kata pensyarah tersebut, mereka sama ada melengah-lengahkan pelaksanaannya, atau tidak faham mengenai dasar yang hendak dicapai itu atau melaksanakannya separuh jalan, menyebabkan ia gagal.
Seminar tersebut dianjurkan bersama oleh USM dan Institut Kepimpinan dan Strategik Asia (Asli).
Keadaan tidak menentu
Lim menyifatkannya sebagai satu jawapan yang terlalu mudah bagi menjelaskan mengenai kad kemajuan kosong Abdullah sepanjang tempoh tiga tahun menjadi Perdana Menteri.
Katanya, kakitangan awam memang tidak lekang daripada dipersalahkan, tetapi untuk melepaskan Perdana Menteri dan menteri kabinetnya daripada tanggungjawab tersebut, adalah satu sikap pengecut.
Malah, katanya, ia tidak membantu apa-apa bagi mengakhir keadaan tidak menentu yang telah menjangkiti kerajaan pimpinan Abdullah.
Malah, katanya, pada akhir tahun lalu dan awal tahun ini menyaksikan kemerosotan mutu perkhidmatan awam dalam semua bidang sama ada pengurusan dan pencegahan bencana alam seperti banjir besar di Johor dan dan Melaka, kemudahan asas hospital dan penjagaan kesihatan, pencegahan aktiviti jenayah dan membasmikan rasuah.
Walaupun Abdullah berkata beliau berkuasa', tetapi Lim berkata, tidak seorang pun yang nampaknya tahu siapapun yang sebenarnya menguasai kerajaannya.

