Lebih 100,000 anggota PKR disasarkan akan mengundi secara dalam talian pada pemilihan parti yang dijadual pada bulan Mei ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PKR (JPP) Dr Zaliha Mustafa berkata bahawa sasaran itu berdasarkan trend pengundian pemilihan parti sebelum ini.

"Dalam setiap pemilihan parti, ia ada kenaikan enam peratus dari segi jumlah keluar mengundi.

"Jadi, kalau ikutkan trend yang sama jumlah yang dijangka akan keluar mengundi pada pemilihan kali ini adalah dalam sekitar 300,000.

"Daripadanya, kita mensasarkan PAT (pengundi atas talian) lebih satu pertiga atau 30 peratus iaitu lebih kurang 100,000 akan mengundi secara online," katanya kepada Malaysiakini.

PKR akan mengadakan pemilihan parti kali pertama selepas 'Langkah Sheraton' yang melihat parti itu hilang kuasa di peringkat pusat bersama kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Lebih 1.2 juta anggota parti berhak mengundi secara dalam talian atau secara fizikal, yang dipercayai merupakan kali pertama dilaksanakan oleh parti politik di Malaysia.

Sejak 2010, PKR mengamalkan sistem satu ahli satu undi untuk memilih di peringkat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan cabang.

Sementara itu, Zaliha memberitahu bahawa dia yakin bahawa jumlah pengundi yang memilih untuk mengundi secara dalam talian akan meningkat.

"Sasaran parti adalah memperkenalkan undian secara online. Sehingga 8 April, hampir 50 ribu ahli parti telah mendaftar dengan aplikasi ADIL.

"Daripadanya, lebih 30 ribu telah pun diluluskan. Manakala, 20 ribu menunggu untuk proses verifikasi sebelum diluluskan," katanya.

Pendaftaran masih rendah

Katanya, dia yakin masih mampu mencapai sasaran 100,000 pengundi secara dalam talian walaupun jumlah ahli yang mendaftar untuk mengundi di aplikasi ADIL masih rendah.

"Memang pendaftaran masih rendah. Ada beberapa sebab. Antaranya, PRN Johor bertembung dengan pelancaran aplikasi ADIL pada bulan Mac.

"JPP juga melantik koordinator di setiap negeri untuk meningkatkan jumlah pendaftaran secara online," katanya.

Untuk rekod, partinya telah melanjutkan tarikh akhir pendaftaran mengundi secara dalam talian dari 8 Apr kepada 21 Apr.