Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) hari ini memaklumkan telah menyemak laporan awal siasatan berhubung insiden pesawat Malaysia Airlines MH2664 dari Kuala Lumpur ke Tawau yang terpaksa berpatah balik akibat masalah teknikal pada 3 April lalu.

CAAM berkata, terdapat isu teknikal semasa penerbangan tersebut yang berpunca daripada sistem Pitot-Static yang tidak berfungsi.

Ia katanya merupakan sistem pengukur tekanan bagi menentukan kelajuan angin dan altitut.

"Kegagalan sistem tersebut berfungsi telah menyebabkan penunjuk kelajuan tidak tepat hingga mengakibatkan pesawat menaik serta menyahaktifkan fungsi autopilot.

"Bagi mengatasi isu itu, juruterbang segera bertindak untuk mengambil alih kawalan terhadap pesawat tersebut

"Ini penting bagi memastikan pesawat kekal berada dalam kawalan juruterbang berdasarkan indikator tepat yang masih ada serta menggunakan instrumen yang masih berfungsi," kata ketua pegawai eksekutif CAAM, Kapten Chester Voo dalam satu kenyataan.

Voo berkata semasa proses mengambil alih kawalan pesawat, data keselamatan menunjukkan input perubahan mendadak pada pecutan dan altitut.

"Ini selari dengan laporan juruterbang serta laporan daripada penumpang-penumpang dalam pesawat.

"Gerakan ini ditambah dengan cuaca buruk menyebabkan penumpang dalam kabin merasa tidak selesa.

"Kru-kru pesawat telah menambil tindakan awal dan pelaksanaan senarai semak pemulihan tidak normal seperti prosedur operasi standard adalah mencukupi berdasarkan siasatan laporan awal CAAM dan FDR (Perakam data penerbangan)," katanya.

Susulan kejadian itu, CAAM berkata pesawat Boeing 737-800 kini digantung sehingga notis seterusnya dan kini sedang menunggu proses analisis teknikal dari syarikat Boeing.

"Punca utama yang dikenalpasti akan ditangani bagi memastikan kaedah latihan dan keselamatan yang dipertingkatkan bagi semua kakitangan penerbangan terlibat," katanya.

Menurutnya CAAM juga akan mengeluarkan keperluan tambahan yang diperlukan bagi memastikan pematuhan kepada amalan keselamatan terbaik dan menjaga kepentingan keselamatan orang awam.

Baru-baru ini beberapa penumpang pesawat MH2664 dilaporkan berkata pesawat itu "menjunam seketika" selepas lampu isyarat tali pinggang dipadamkan dan makanan dihidangkan oleh pramugari.

"Saya yakin kedudukan pesawat menjunam, ketika itu saya hanya ingat mati dengan penumpang lain menjerit dan menangis ketakutan,” kata salah seorang penumpang pesawat berkenaan.