Ketua Wanita PKR Johor Napsiah Khamis menyatakan hasrat untuk bertanding jawatan timbalan ketua Wanita Pusat PKR dalam pemilihan parti akan datang.
Napsiah yang tewas pada PRN Johor bagi kerusi DUN Kempas bulan lalu berkata, wujud defisit kepercayaan terhadap PKR yang dicerminkan daripada pencapaian parti itu dalam beberapa pilihan raya lepas.
"Bertitik tolak dari sini, saya berpendapat bahawa Keadilan perlu kembali ke ‘drawing board’, menginsafi segala kelemahan dan seterusnya membaiki segala kepincangan dan menyediakan ‘blue print’ di atas landasan perjuangan yang jelas untuk melonjak idealisme perjuangan demi kemaslahatan rakyat dan negara.
"Asas untuk Keadilan kembali menggamit keyakinan rakyat dan kembali melonjak idealisme perjuangan tentunya wajar bermula dari batang tubuh parti sendiri.
"Maka adalah menjadi tanggungjawab malah menjadi tuntutan keperluan memperkasakan parti," katanya dalam kenyataan.
Menurutnya dengan jumlah keseluruhan anggota parti menghampiri 50 peratus adalah wanita, Napsiah berkeyakinan penuh sayap wanita PKR memerlukan saf pimpinan yang kuat, prihatin dengan denyut nadi rakyat dan bersedia membawa wanita ke tahap tertinggi.
"Dengan latar belakang saya bergelumang dengan denyut nadi rakyat melalui NGO dan kerja-kerja politik selama sejak bermulanya gerakan reformasi ini saya berkeyakinan besar boleh dan mampu memberikan sumbangan dan menjadi aset kepada parti," katanya.
Bulan lalu, peguam yang juga senator Fadhlina Sidek mengumumkan akan bertanding sebagai Ketua Wanita PKR dalam pemilihan parti itu.
