Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
MDA gantung kelulusan 2 kit ujian Covid-19
Diterbitkan:  Apr 11, 2022 8:30 PM
Dikemaskini: 1:31 PM

Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) menggantung kelulusan dua jenama kit ujian kendiri Covid-19 selepas mendapati prestasinya tidak mencapai tahap ditetapkan.

Menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, MDA telah menguji 22 jenama kit ujian Covid-19 di pasaran selepas menerima aduan daripada orang ramai.

"Setakat ini, 12 keputusan telah diperolehi dan mendapati 2 kit tidak mencapai tahap prestasi yang ditetapkan.

“Kelulusan 2 kit ini digantung serta-merta,” katanya di Twitter hari ini.

Dua jenama berkenaan ialah Wizblue yang dikeluarkan oleh Anhui Deepblue Medical Technology Co dan Wizbiotech yang dikeluarkan oleh Xiamen Wiz Biotech Co, kedua-duanya berpangkalan di China.

Kedua-dua kit ujian Covid-19 itu masing-masing didaftarkan di Malaysia oleh Innovac Technology Sdn Bhd dan Conan Medical Technology Bhd.

Laman web MDA pada masa ini menunjukkan terdapat 128 jenama kit ujian kendiri Covid-19 yang telah diluluskan bersyarat untuk pasaran Malaysia.

Bagaimanapun paparan untuk dua kit ujian yang digantung itu telah dialih keluar.

Pada 17 Feb, Khairy memaklumkan dia telah mengarahkan MDA untuk menyiasat aduan orang ramai mengenai kit ujian kendiri Covid-19 yang menunjukkan keputusan yang meragukan.

Sebelum itu, agensi itu juga telah mengagihkan borang dalam talian untuk mendapatkan aduan orang ramai berhubung prestasi kit ujian kendiri.

Lihat Komen
ADS