Hakim Datuk Abdul Wahab meninggal dunia
Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Abdul Wahab Said Ahmad yang meninggal dunia kerana sakit jantung di Pusat Perubatan Selangor di Shah Alam malam tadi.
Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Abdul Wahab Said Ahmad yang meninggal dunia kerana sakit jantung di Pusat Perubatan Selangor di Shah Alam malam tadi.
Allahyarham yang berusia 52 tahun, akan dikebumikan di kampung halamannya di Teluk Intan, Perak hari ini.
Anak Allahyarham, Ahmad Ridzwan, 22, memberitahu Bernama urusan sedang dibuat bagi membawa balik jenazah ayahnya di kediaman mereka di Kota Damansara, Petaling Jaya ke kampung mereka di Lot 1860F, Jalan Manggis, Teluk Intan untuk kebumikan selepas waktu Asar.
Abdul Wahab yang juga Yang Dipertua Majlis Penyeliaan Bernama dikatakan mengalami sesak nafas ketika bermain badminton di Petaling Jaya, pada jam 8.45 malam tadi sebelum dikejarkan ke pusat perubatan itu untuk rawatan kecemasan tetapi meninggal dunia pada jam 10 malam.
Abdul Wahab meninggalkan isteri Datin Salmah Md Kassim, 49, dan empat anak, Abdul Razif, 25, Ahmad Ridzwan, 22, Nur Syazwani, 19, dan Ahmad Shahir, 14.
Allahyarham yang juga bekas Penasihat Undang-undang Negeri Perak pernah berkhidmat sebagai majistret dan Hakim Mahkamah Sesyen di Ipoh.
Sakit dada
Sementara itu, Hakim Mokhtarudin Baki yang menjadi regunya dalam permainan itu malam tadi berkata, Abdul Wahab duduk dibangku untuk berehat sebelum set seterusnya apabila beliau tiba-tiba rebah pada kira-kira jam 8.30 malam.
"Beliau rebah dengan tangan memegang dada kirinya. Kami segera menghantarnya ke Pusat Perubahan Selangor berhampiran tetapi doktor mengesahkan beliau meninggal dunia sebaik tiba," katanya kepada Bernama ketika ditemui di rumah Abdul Wahab di D'Villa Botani, Kota Damansara, di Petaling Jaya pagi ini.
Mokhtarudin berkata, sebelum itu mereka menghadiri majlis hari jadi seorang hakim di kawasan Shah Alam.
Menurutnya, Abdul Wahab bermain badminton bersama hakim-hakim lain tiga kali seminggu dan menyangkakan beliau tidak mempunyai masalah kesihatan.
"Abdul Wahab pernah memberitahu saya beliau mengambil ubat kerana kolesterolnya tinggi," katanya.
Ramai menziarahi jenazah Allahyarham di rumahnya sebelum jenazah dibawa pulang ke kampungnya di Teluk Intan untuk dikebumikan selepas solat Zohor.
Minat badminton
Antara yang hadir ialah Ketua Hakim Negara Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim, bekas ketua Hakim Negara Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Seri Richard Malanjum, Pengerusi Bernama Datuk Mohd Annuar Zaini, Pengurus Besar Bernama Datuk Syed Jamil Syed Jaafar dan Ketua Pengarang Bernama Datuk Azman Ujang.
Anak Allahyarham, Ahmad Ridzwan berkata bapanya yang amat meminati badminton, bermain sukan itu setiap Rabu dan Ahad.
"Namun saya tidak mengetahui beliau menghidap sebarang penyakit," katanya kepada Bernama.
Sementara itu, anak perempuan Abdul Wahab, Nur Syazwani, berkata beliau sangat rapat dengan bapanya dan menyifatkan beliau sentiasa ada bila diperlukan.
"Mudah untuk mendekatinya kerana beliau seorang yang bertimbang rasa. Itu sebab mengapa beliau merupakan bapa saudara kesayangan sepupu-sepupu saya, terutama semasa Hari Raya, beliau akan belanja kami makan ais krim," katanya.
Ambil berat
Ini diperakui sepupunya Nor Akma Mustafa Ali, 24.
"Beliau ialah bapa saudara terbaik yang pernah saya miliki. Beliau memgambil berat kebajikan kami semua... sukar untuk percaya beliau sudah tiada," katanya dalam keadaan sebak.
Abdul Wahab yang berkhidmat di Mahkamah Tinggi Bahagian Dagangan Kuala Lumpur, memulakan kerjaya dalam bidang perundangan pada 14 Januari 1978.
Beliau berkhidmat sebagai hakim di Mahkamah Sesyen Taiping pada 1988, sebelum bertukar ke Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 1990, Mahkamah Sesyen Ipoh pada 1992 dan dilantik menjadi Penasihat Undang-undang Negeri Perak pada 1994.
Pada 1998, beliau dilantik sebagai Peguam Kanan Persekutuan di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebelum dilantik menjadi Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan pada Julai 2000 hingga April 2003.

