Penghasilan karya seni berbentuk satira perlu juga melihat kepada kesan langsung dan tidak langsung pada masa depan, kata Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub.

Katanya, tanpa menolak hak seseorang untuk menyatakan pandangan dan berkarya, sesebuah karya seni wajar mengambil kira aspek berkenaan kerana ia mungkin membawa kepada isu yang lebih besar.

"Tak ada salahnya untuk berekspresi dan menyampaikan mesej kepada ahli-ahli parlimen tetapi kita juga perlu melihat kepada kesan jangka panjang.

"Bagaimana nanti kalau ada pengkarya yang bertindak lebih daripada itu? Misalnya mereka menyindir raja-raja Melayu atas nama kebebasan berpendapat dan kerana kerja seni?" katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Terdahulu Salahuddin diminta mengulas mengenai sekeping lukisan satira dibeli Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, dan dimuat naik di media sosial semalam.

Lukisan tidak dapat dipastikan judul dan pelukisnya itu menggambarkan keadaan parlimen yang dipenuhi haiwan seperti beruk, kera dan katak.

Bagaimanapun imej speaker dan pegawai parlimen dikekalkan seperti biasa.

Ia muncul sehari selepas Dewan Rakyat mengadakan sidang khas bagi membincangkan rang undang-undang bagi mengekang wakil rakyat melompat parti.

Menurut Salahuddin dia memahami dan menerima hakikat bahawa seseorang itu berhak berkarya mengikut kemahuan yang dirasakan wajar atas nama seni.

Namun katanya pihak terbabit wajar memikirkan kesan daripada tindakan tersebut.

"Kita juga tahu bahawa tiada sesiapa pun berada di atas undang-undang dan di negara ini juga masih wujud Akta Hasutan," katanya.