Tan Sri Nor Mohamed Yakcob dilantik semula sebagai Senator
Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop hari ini dilantik semula sebagai anggota Dewan Negara atau Senator bagi penggal kedua untuk tempoh tiga tahun lagi.
Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop hari ini dilantik semula sebagai anggota Dewan Negara atau Senator bagi penggal kedua untuk tempoh tiga tahun lagi.
Beliau mengangkat sumpah sebagai Senator dihadapan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Abdul Hamid Pawanteh, di Bangunan Parlimen.
Nor Mohamed, 60, pertama kali dilantik sebagai anggota Dewan Negara pada 9 Januari 2004, serentak dengan pelantikannya sebagai Menteri Kewangan Kedua, demikian menurut laporan Bernama.
Ketika ditemui pemberita selepas upacara itu, Nor Mohamed berkata, beliau akan melaksanakan tanggungjawabnya dengan penuh komited bagi menghadapi tahun mendatang yang semakin mencabar.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana dilantik semula sebagai Senator dan Menteri Kewangan Kedua.
Projek RMK9
"Kini Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) sedang giat dijalankan, kita yakin bahawa kerajaan begitu komited untuk melaksanakan segala projek dalam RMK-9 dengan efisyen dan efektif," katanya.
Nor Mohamed yang memiliki ijazah Sarjana Muda Ekonomi (Kepujian) Universiti Malaya dan Sarjana Pengurusan Perniagaan Catholic University of Leuven, Belgium, memulakan kerjayanya di Bank Negara antara 1968 dan 1994.
Selepas beberapa ketika berkhidmat dengan sektor swasta, beliau menyertai semula Bank Negara antara September 1998 dan Mei 2000, sebelum dilantik sebagai Penasihat Khas Ekonomi kepada Perdana Menteri antara Mei 2000 dan Januari 2004.
Seorang lagi anggota Dewan Negara yang dilantik semula sebagai Senator ialah Ketua Pergerakan Wanita Umno Bahagian Besut, Terengganu, Wan Ramlah Ahmad.
Wan Ramlah, 61, seorang bekas guru juga merupakan Ahli Lembaga Pengarah Koperasi Guru Melayu Besut Berhad.

