Pusat Kewartawanan Independen (CIJ) berkata pihaknya memandang serius tindakan Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KKDN) menapis contoh-contoh torelansi agama dan kepercayaan asing yang disiarkan dalam majalah Economist .

Kementerian Keselamatan Dalam Negeri telah mengoyak muka surat artikel dalam Economist terbitan 23 Disember 2006 yang bertajuk "Born of Fire" mengenai masyarakat Islam di Afghanistan dan Somalia yang mempercayai kewujudan jin.

Ia juga menghitamkan satu perenggan dalam artikel "A child in Bethlehem", yang melaporkan wanita Islam mengunjungi tempat keramat lama Virgin Mary memohon dikurniakan anak. Economist diterbitkan oleh Economist Newspaper Limited di Britain .

Pengarah Eksekutif CIJ, Sonia Randhawa berkata, apabila dihubungi oleh CIJ, seorang jurucakap kementerian berkenaan berkata, amalan yang disebut dalam artikel tersebut bercanggah dengan ajaran Islam.

Menurut jurucakap KKDN itu lagi, umat Islam tidak boleh percaya kepada jin kerana ia bertentangan dengan ajaran Islam.

Sonia berkata, penapisan artikel tersebut telah menafikan maklumat awam mengenai amalan dan budaya bangsa di luar Malaysia.

Katanya, daripada menyekat orang ramai mengetahui tentang tradisi bangsa lain, Islam atau Kristian, kerajaan sepatutnya menggalakkan pencarian ilmu, dalam semangat menggalakkan toleransi dan persefahaman.

Jurang digital

Lagi pula, katanya, penyuntingan penerbitan yang juga boleh dibaca melalui internet hanya akan meluaskan jurang digital.

"Masyarakat bandar yang mempunyai akses internet boleh memperolehi maklumat yang dinafikan kepada pelanggan atau pembaca yang tidak ada akses internet atau tiadak kemahiran untuk melayari internet," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, kata Sonia, CIJ menggesa kerajaan supaya berhenti mengharam atau menapis penerbitan dan memansuhkan Akita Penerbitan dan Mesin Cetak 1984.

Kerajaan juga, tegasnya, harus menimbang menubuhkan Jawatankuasa Terpilih mengenai Hak Komunikasi, untuk mengkaji perundangan ke arah rejim komunikasi yang telus dan terbuka di Malaysia, selaras dengan standard hak asasi manusia antarabangsa.

CIJ adalah pertubuhan media yang bertujuan untuk memperbaiki amalan dan kebebasan kewartawan di Malaysia melalui pembelaan, penyelidikan dan analisa, latihan dan kerja-kerja amali.

Ditubuhkan pada 2001, CIJ telah mengambil dayausaha untuk melaksanakan pelbagai projek mengenai kemahiran komunikasi di peringkat akar umbi melalui latihan, sokongan infrastruktur dan tindakan secara langsung.