Umno baru-baru ini memutuskan untuk menamakan naib presidennya Ismail Sabri Yaakob untuk terus menjadi perdana menteri sekiranya berjaya memperoleh majoriti dalam pilihan raya umum ke-15.

Seorang penganalisis politik percaya keputusan itu merupakan langkah bijak bagi Umno untuk mempertahankan kedudukannya dalam kerajaan persekutuan, termasuk sekiranya kekurangan ahli parlimen untuk membentuk kerajaan sendiri.

Bekas pensyarah Universiti Teknologi Malaysia, Azmi Hassan berkata situasi politik semasa menunjukkan Umno mungkin perlu membentuk kerjasama dengan parti politik lain di luar BN untuk mendapatkan jumlah yang mencukupi di Dewan Rakyat.

"Besar kemungkinan kalau Umno dapat membentuk kerajaan, Umno bukanlah satu parti sahaja yang membentuknya kerana akan ada rakan-rakan yang lain seperti di Sarawak iaitu GPS dan dari Sabah.

"Dan di Semenanjung juga. Kalau dilihat Ismail Sabri boleh diterima semua peringkat atau semua parti.

"Kalau dilihat kenapa beliau dipilih adalah kerana dia boleh diterima oleh Bersatu, PAS dan juga Umno dalam dua kem yang berbeza itu.

"Jadi saya melihat bahawa besar kemungkinan Ismail Sabri akan menjadi PM (seterusnya) kalau melihat keadaan sekarang,” katanya.

Azmi, yang merupakan felo kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, percaya kerjasama Umno dengan PAS atau Bersatu, atau kedua-duanya, boleh berlaku semula selepas PRU15 terutamanya jika mereka diperlukan untuk membentuk angka yang mencukupi.

Kelmarin, Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan mengumumkan keputusan Majlis Tertinggi parti itu untuk mencadangkan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri pada pilihan raya umum akan datang.

Untuk segerakan PRU15

Bagaimanapun, dua penganalisis lain yang bercakap dengan Malaysiakini menimbulkan keraguan mereka mengenai pengumuman calon perdana menteri itu.

James Chin, yang merupakan Profesor pengajian Asia di Universiti Tasmania, berkata Ismail Sabri tidak mungkin diberikan jawatan itu melainkan dia bersama presiden parti Ahmad Zahid Hamidi dan Ahli Parlimen Pekan, Najib Razak.

"Saya tidak fikir Ismail Sabri akan menjadi perdana menteri selepas pilihan raya, melainkan dia bersetuju untuk mengalah dengan apa yang Najib dan Zahid... apa yang semua kluster mahkamah mahu," katanya merujuk kepada beberapa pemimpin Umno yang sedang menghadapi perbicaraan di mahkamah.

Ahli akademik itu merujuk kepada dakwaan bahawa pemimpin tertentu dalam Umno mahu kes jenayah mereka digugurkan dengan memenangi PRU15.

"Jika dia (Ismail) bersama mereka, maka mereka mungkin mempertimbangkannya, tetapi sangat tidak mungkin," tambah Chin.

Chin juga menegaskan bahawa janji-janji politik, tidak semestinya ditunaikan dengan mengambil contoh janji bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad untuk menyerahkan kuasa kepada ketua pembangkang Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri sebelum ini.

Menurut felo kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura Oh Ei Sun, dia percaya sebab utama kepimpinan Umno menamakan Ismail adalah agar dia menyegerakan PRU15.

Dia juga percaya apa yang berlaku selepas pilihan raya negeri Johor pada Mac lalu boleh berulang semula pada PRU15.

“(Mereka) berkemungkinan meniru saga Menteri Besar Johor di peringkat nasional, walaupun alasannya mungkin sama atau tidak.

"Perkara utama adalah untuk mengasak dia supaya mempercepatkan pilihan raya," katanya.

Sementara itu, seorang lagi penganalisis, Awang Azman Awan Pawi dari Universiti Malaya juga mempunyai pandangan yang sama.

Katanya, walaupun Umno boleh menamakan calonnya untuk jawatan Perdana Menteri, namun kata putus terletak pada Yang di-Pertuan Agong.

“Umno boleh cadang nama sesiapa sahaja jadi PM, namun kuasa melantik terletak kepada kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Mengenai keputusan Umno untuk menamakan Ismail Sabri, Awang Azman percaya ia dibuat untuk mengelakkan perpecahan dalam parti.

Ini, tegasnya, penting dalam menentukan sama ada Umno memenangi pilihan raya umum akan datang atau sebaliknya.