Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis buru dua suspek pukul, gigit pelajar warga asing
Diterbitkan:  Apr 22, 2022 4:36 PM
Dikemaskini: Apr 23, 2022 2:40 PM

Seorang pelajar warga asing, yang berjalan bersama rakannya di luar pusat beli-belah Publika di Kuala Lumpur, diserang selepas merakam dua lelaki menaiki sebuah motosikal yang mengganggu mereka dan berkelakuan mencurigakan.

Dalam catatan Instagram, pelajar berusia 23 tahun itu berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 8.50 malam tadi.

Apabila menyedari perbuatan mereka sedang dirakam, kedua-dua lelaki itu menghampiri pasangan itu dan berlaku pergelutan dengan suspek cuba merampas telefon bimbit mangsa.

Pelajar itu mendakwa dia digigit di lengan dan dipukul di belakang dengan kayu.

Mangsa dan rakannya kemudian melarikan diri ke sekolah berhampiran sebelum pengawal keselamatan membuka pintu pagar untuk mereka berlindung.

Kedua-dua suspek kemudian beredar.

Mangsa, yang berkongsi pengalaman pahitnya untuk memberi amaran kepada orang lain, berkata ketika kejadian seorang daripada lelaki itu berlari ke arah mereka. Walaupun rakannya berjaya melarikan diri, dia bagaimanapun gagal berbuat demikian.

Pelajar itu kemudiannya membuat laporan polis dan gerakan memburu kedua-dua suspek yang dikesan menunggang motosikal bernombor plat WB 9352P telah dilancarkan.

Ketua Polis Daerah Sentul Beh Eng Lai dalam satu kenyataan berkata kes itu disiasat di bawah seksyen 393/323 Kanun Keseksaan kerana cubaan samun dan mendatangkan kecederaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan dikenakan denda.

Polis juga meminta kerjasama orang ramai dalam usaha mencari kedua-dua suspek.

Mereka yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Sarjan Nor Hafizullah Bin Norahim di talian 017-2232031 atau Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di talian 03-40482222.

Lihat Komen
ADS