Abdullah pula disebut-sebut calon BN di Batu Talam
Tinggal enam hari lagi menjelang penamaan calon pilihanraya kecil Batu Talam dan nama ahli jawatankuasa Umno bahagian Raub, Abdullah Abu Bakar kini disebut-sebut sebagai calon yang bakal dipilih mewakili Barisan Nasional (BN).
Sumber-sumber Umno bahagian itu berkata Abdullah yang juga Presiden Majlis Belia Felda (MBF) Pahang, kini menjadi calon pilihan utama untuk mewakili BN dalam pilihanraya kecil itu pada 28 Januari ini.
Nama Abdullah dicadangkan sendiri oleh Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob, yang juga Pengerusi Umno dan BN Pahang, sebagai tambahan kepada lima calon yang dicadangkan dalam mesyuarat Umno bahagian itu, Khamis lalu.
"Rekod Abdullah yang aktif dalam persatuan belia sejak lebih 20 tahun lalu menjadikan beliau cukup dikenali di kalangan penduduk Batu Talam.
"Beliau merupakan seorang pemimpin masyarakat yang sangat berhemah dan disenangi di kalangan pelbagai lapisan rakyat kawasan tersebut," kata sumber-sumber itu.
Abdullah pernah menjadi Timbalan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) dari 2002 hingga 2004, Naib Ketua Pemuda Umno Bahagian Raub dari 1988 hingga 2000, selain mempunyai pengalaman sebagai guru sekolah selama 14 tahun.
Menurut sumber-sumber Umno itu lagi, nama Abdullah pernah dicadangkan menjadi calon BN bagi kawasan Batu Talam dalam pilihanraya umum 2004, tetapi pada saat-saat akhir, pihak parti memutuskan mengekalkan Datuk Tengku Razlan Tengku Paris.
Sedia berkhidmat
Kerusi Batu Talam kosong ekoran kematian Tengku Razlan pada 27 Disember lalu. Suruhanya Pilihanraya (SPR) menetapkan hari penamaan calon pada 16 Januari dan hari pembuangan undi pada 28 Januari.
Selain Abdullah, Umno Raub telah mencalonkan Timbalan Ketua Umno Bahagian Raub, Datuk Mustaffar Kamal Abdul Hamid; Naib Ketua, Datuk Ir Azinuddin Abdul Rahim; Ketua Wanita, Juriah Hashim; Ketua Pemuda, Tengku Abdul Rahman Tengku Perang dan Setiausaha bahagian Raub, Abdul Aziz Mat Kiram.
Abdullah juga merupakan anak jati Batu Talam. Terdapat tiga rancangan Felda di situ Tersang 1, Terdang 2 dan Tersang 3 dengan ramai 2,000 pengundi.
Sementara itu, Abdullah ketika dihubungi semalam berkata, beliau sedia menerima berkhidmat kepada rakyat kawasan Batu Talam sekiranya terpilih sebagai wakil BN dalam pilihanraya kecil pada 28 Januari ini..
Namun begitu, katanya, beliau tidak pernah melobi untuk menjadi calon BN di situ dan menyerahkannya kepada budibicara pucuk pimpinan.
"Saya bersedia menerimanya jika diberi peluang oleh parti untuk bertanding di situ. Mungkin dengan pengalaman luas saya dalam masyarakat, akan membolehkan saya berkhidmat dengan baik," jelasnya.
Bagaimanapun, sokongan beliau kepada parti itu tidak pernah berbelah bahagi dan akan menyokong sesiapa sahaja yang dipilih oleh parti bertanding dalam pilihanraya kecil Batu Talam.
Sementara itu, PAS pula dijangka mengumumkan calonnya malam ini di Kampung Sega, Raub. Majlis itu turut dihadiri oleh penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam pilihanraya umum 2004, BN menewaskan calon PAS Dr Muhammad Nilam Abdul Manap dengan kelebihan 2,761 undi. Terdapat 10,886 pengundi berdaftar pada masa itu.