Kes Altantuya: Adakah Najib disoal, tanya Anwar

Soon Li Tsin        

Apakah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib disoal berhubung kes pembunuhan kejam model warga Mongolia Altantuya Sharriibuu?

Soalan ini diutarakan oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bercakap dalam satu sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini, beliau berkata, Najib harus disoal oleh pihak polis berikutan wujudnya faktor-faktor yang berkaitan.

Beliau berkata, siasatan terhadap pembunuhan tersebut lebih menimbulkan banyak soalan daripada jawapannya.

Beliau merujuk kapada dua anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Cif Inspektor Azilah Hadri, 30, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 35, yang dituduh membunuh Altantuya.

Menurut Anwar, anggota UTK itu ditugaskan di pejabat Timbalan Perdana Menteri.

Berdasarkan pengalamannya, beliau berkata, UTK ditugaskan untuk menjaga keselamatan Timbalan Perdana Menteri dan mereka bekerja mengikut arahannya.

Oleh itu, katanya, sekurang-kurangnya Najib perlu disoal bagaimana orang yang ditugaskan menjaga keselamatannya dan bekerja di bawah arahannya, boleh terbabit melakukan jenayah seumpama itu.

"Beliau perlu bekerjasama dalam siasatan[...] dan mesti disoal," kata Anwar sambil menambah, pihaknya tidak sama sekali mengatakan yang Najib ada kaitan dengannya.

Turut dituduh bersubahat membunuh Altantuya adalah penganalisa politik terkemuka, Abdul Razak Baginda, yang mengetuai kumpulan pemikir yang dikaitkan dengan Najib.

Jika sabit kesalahan, ketiga-tiganya menghadapi hukuman mati.

Urusan pembelian kapal salam

Sementara itu, Anwar juga membangkitkan isu pembelian dua kapal selam Scorpene oleh kerajaan daripada Perancis yang membabitkan urusniaga hampir RM4.6 bilion.

Disember lalu, Kementerian Pertahanan menafikan membayar AS$100 juta (RM370 juta) kepada sebuah syarikat Malaysia sebagai komisen bagi urusan pembelian kapal selam tersebut.

Syarikat tersebut Perimekar adalah milik Ombak Laut yang dimiliki bersama oleh Abdul Razak.

"Saya tidak mahu membuat sebaran tekaan. Najib mesti disoal kerana kedua-dua kes tersebut membabitkan beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri," katanya.

Anwar berkata, Najib mesti disoal sama ada Altantuya hanya dikenali Razak dan bukan beliau, dan adakah beliau hanya mengetahui mengenai pembunuhan tersebut selepas wanita itu dilaporkan hilang.

Bidas pendakwaraya

Anwar turut membidas kenyataan Timbalan Pendakwaraya Salehuddin Saidin di Mahkamah Tinggi Shah Alam bahawa tiada pembabitan pihak lain dalam kes pembunuhan tersebut.

Katanya, ianya tidak wajar kerana adalah terlalu awal untuk pihak pendakwaraya menyatakan tiada orang lain yang terbabit dalam kes pembunuhan itu, sambil bertanya siapakah yang memberi mereka arahan supaya berbuat demikian.

Altantunya ditembak dan badannya diletupkan di kawasan hutan di Empangan Tasik Subang di Selangor. Cebisan mayatnya ditemui Oktober lalu.

Mahkamah Tinggi Shah Alam telah menetapkan kes tersebut mula bicara pada 10 Mac tahund depan.

Sementara itu, Mahkamah Rayuan akan permohonan ikatjamin Abdul Razak esok.

Abdul Razak Baginda telah dihantar ke penjara Sungai Buloh Jumaat lalu selepas Mahkamah Tinggi menolak permohonan lisannya untuk melanjutkan ikatjamin RM1 juta terhadapnya. Berita asal

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In