Ketua Bahagian Umno yang telah tamat tempoh penggantungan masing-masing perlu merujuk kepada Majlis Tertinggi (MT) untuk mendapatkan semula jawatan mereka, kata Ketua Penerangan Umno, Senator Tan Sri Muhammad Muhd Taib.

Katanya, hanya MT yang boleh mengembalikan jawatan mereka apabila mereka tamat menjalani hukuman Lembaga Disiplin Umno kerana terbabit dengan politik wang.

"Jika mendapat permohonan, MT boleh bersidang bagi membincangkan perkara tersebut untuk mereka mendapatkan semula jawatan lamanya," katanya.

Muhammad berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ahli Parlimen Kota Baru, Datuk Zaid Ibrahim yang mahu dilantik semula sebagai Ketua Umno Bahagian Kota Bharu setelah tempoh penggantungannya berakhir 23 Disember lalu.

Sehingga ini, kata Muhammad, MT belum menerima sebarang permohonan rasmi dari Zaid untuk mendapatkan semula jawatan lamanya sebagai Ketua Umno Bahagian Kota Baru.

"Mesyuarat bulanan MT yang akan diadakan tidak lama lagi mungkin membincangkan kedudukan Zaid jika ada permintaan rasmi terhadap perkara itu," katanya lagi.

Muhammad menasihatkan Zaid supaya tidak perlu mewar-warkannya dalam media mengenai perkara tersebut, tetapi sebaliknya merujuk terus kepada MT.

Sokongan parti

Zaid digantung selama 18 bulan oleh Lembaga Disiplin Umno kerana didakwa terbabit dengan politik wang ketika pemilihan parti 2005.

Zaid dilaporkan berkata, tempoh penggantungannya berakhir pada 23 Disember lalu dan beliau mahukan semula jawatan Ketua Umno Bahagian Kota Bharu.

Beliau mendakwa, sepanjang tempoh penggantungannya, tidak seorangpun memberitahunya mengenai program dan lawatan pemimpin nasional dan ini menyebabkan beliau sukar untuk menjalankan tugasnya.

"Saya perlukan sokongan parti untuk menjalankan tugas dengan berkesan dan pilihanraya umum semakin hampir, saya mahu mempertahankan kerusi Parlimen Kota Baru dan semua orang tahu ia sukar," katanya lagi.

Selain Zaid, beberapa Ketua Umno bahagian lain yang turut digantung jawatan termasuk Ketua Umno Lembah Pantai, Datuk Shahrir Abdul Jalil; Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Astaman Aziz; Ketua Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Amil Salleh; Ketua Bahagian Silam, Datuk Samsu Rahman .

Manakala, Naib Presiden Tan Sri Isa Samad pula digantung selama tiga tahun dan sekaligus kehilangan jawatan itu dan Menteri Wilayah Persekutuan yang disandangnya apabila didapati bersalah terbabit dalam politik wang.