Sebuah badan pemantau pilihanraya melahirkan kekecewaannya yang amat sangat dan memandang berat keputusan Barisan Alternatif (BA) untuk memboikot pilihanraya kecil Batu Talam yang ditetapkan pada 28 Januari depan.

"Jika tiada pertandingan, tindakan memboikot itu bermakna mereka menafikan hak pengundi untuk memilih seorang wakil dalam pilihanraya kecil itu," kata Pengerusi Pemantau Pilihanraya Bebas dan Adil Malaysia (Mafrel), Abd Malek Hussin.

Menurutnya, undang-undang pilihanraya di Malaysia dan peraturan dalam Perlembagaan Persekutuan tidak membenarkan pengundian diadakan jika seorang sahaja calonnya, tidak seperti di negara jiran, Thailand.

Ini, katanya, telah menafikan pengundi hak untuk menyatakan sokongan mereka .

Menurut amalan di Malaysia, jika tiada penamaan calon yang lain, calon tunggalnya akan diisytiharkan sebagai pemenang tanpa perlu proses pengundian dijalankan.

Hanya Barisan Nasional (BN) dijangka mengemukakan calonnya pada hari penamaan calon pada 16 Januari ini.

Perlu langkah segera

Mengenai aduan PAS bahawa terdapat kepincangan dalam senarai pemilih, Malek berkata, ia menimbulkan isu kurang ketelusan dan harus ditangani secara serius oleh Suruhanjaya Pilihanraya.

"Langkah segera perlu diambil untuk menangani masalah ini. Dialog yang membabitkan semua parti berkenaan perlu diadakan untuk mengumpulkan maklumat bagaimana hendak menangani isu-isu yang dibangkitkan," tambah Malek.

Kerusi Batu Talam menjadi kosong ekoran kematian wakil rakyat dari BN, Tengku Paris Tengku Razlan, 66, kerana sakit barah pada 27 Disember lalu.

Dalam pilihanraya umum 2004, Tengku Paris menewaskan calon PAS Mohamed Nilam Abdul Manap dengan majoriti 2,761 undi. Terdapat 10,866 pemilih berdaftar ketika itu.

Senarai terbaru puluh menyaksikan jumlah pengundi di kawasan itu merosot kepada 10,525 orang, termasuk 14 undi pos. Berita asal