Segelintir peniaga meluahkan rasa kecewa dengan peraturan baru penggunaan MySejahtera bermula 1 Mei yang memerlukan mereka memeriksa status kesihatan pelanggan di aplikasi itu.

Pemilik premis dan peniaga perlu melarang pelanggan yang positif Covid-19 atau dikenakan perintah pengawasan di rumah dari masuk ke premis perniagaan.

Pada masa ini, prosedur menetapkan supaya pelawat ke mana-mana bangunan hanya perlu mengimbas kod QR MySejahtera sebagai sebahagian daripada prosedur daftar masuk untuk memudahkan usaha pengesanan kontak Covid-19.

Menurut laporan Free Malaysia Today, bos Mydin Mohamed Holdings Bhd, Ameer Ali Mydin berkata peraturan baru itu "paling tidak masuk akal" dan rakannya yang lain tertanya-tanya bagaimana ia boleh dilaksanakan.

"Kami tidak tahu bagaimana untuk melaksanakan ini. Tidak sepatutnya menjadi tanggungjawab pemilik pusatbeli-belah untuk bimbang tentang orang ramai," katanya.

Naib Presiden Persatuan PKS Malaysia Chin Chee Seong melahirkan kebimbangan jika individu tidak melaporkan bahawa mereka positif Covid-19 melalui aplikasi MySejahtera.

"Ia (SOP) menjadi lebih teruk. Sebelum ini, individu hanya perlu mengimbas telefon mereka untuk mendaftar masuk. Kini mereka perlu menunjukkan telefon mereka untuk memasuki perniagaan," katanya.

Naib pengerusi Persekutuan Persatuan Perniagaan Malaysia Raymond Woo berkata orang ramai mungkin akan memalsukan maklumat MySejahtera mereka dengan hanya menunjukkan tangkap layar kepada peniaga.

"Tanggungjawab rakyat untuk memainkan peranan mereka," katanya. "Adalah sukar bagi peniaga untuk menyemak sama ada (maklumat yang ditunjuk) adalah daripada MySejahtera atau tangkap layar."

Presiden Persatuan Pemilik Restoran India Malaysia J Suresh memberitahu Free Malaysia Today bahawa peraturan baru ini menjadi tanggungjawab tambahan untuk pemilik perniagaan.

Katanya, dalam kes dihadapi ahli persatuannya, sudah ramai yang menghadapi masalah kekurangan tenaga kerja.

"Mereka sepatutnya memudahkan pengusaha restoran, terutamanya semasa kekurangan tenaga kerja pada masa ini. Jika anda meminta kami melakukan ini secara manual, ia hanya akan menjadi satu lagi perkara yang perlu dibimbangkan," katanya.

Bermula 1 Mei, Putrajaya tidak lagi mewjibkan rakyat Malaysia merekodkan lawatan mereka ke mana-mana premis di luar rumah, sama ada di atas kertas atau melalui aplikasi MySejahtera.