mk-logo
Berita
Isu kanak-kanak tanpa IC: Tak perlu tunggu media dedah
Diterbitkan:  Apr 30, 2022 11:54 AM
Dikemaskini: 3:55 AM

Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching memuji keputusan Putrajaya memberikan kerakyatan kepada Rohana Abdullah, namun mengingatkan kerajaan bahawa terdapat ramai kanak-kanak tanpa kerakyatan menghadapi masalah yang sama.

Katanya, Rohana, 22 bernasib baik kerana mendapat perhatian peribadi daripada Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin selepas kisahnya yang dibesarkan sebagai seorang Islam oleh ibu angkatnya warga Malaysia berbangsa Cina, dilaporkan akhbar.

Chee Hoi Lan, 83, seorang guru tadika, telah menjaga Rohana selepas ditinggalkan ibunya warga Indonesia, yang bekerja sebagai tukang cuci.

"Saya percaya surat kelulusan itu adalah hadiah raya yang terbaik untuk Rohana.

“Walaupun saya berasa sangat gembira untuk Rohana dan Puan Chee, kita tidak boleh lupa bahawa terdapat ramai lagi individu tanpa kerakyatan yang turut melalui pelbagai pengalaman tragis semasa tinggal di Malaysia.

“Adakah Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin turut komited untuk membantu mereka?

"Adakah mereka bersedia untuk menangani jurang dasar dalam undang-undang kewarganegaraan supaya kanak-kanak tanpa kerakyatan yang lain tidak perlu melalui penderitaan dan tragedi yang ditanggung Rohana," soal Teo.

Gambar fail, PM menghubungi Rohana.

Teo berkata Hamzah telah menegaskan bahawa kerakyatan hanya akan diberikan kepada individu yang layak.

"Tetapi kenapa Rohana tidak dianggap layak sejak 20 tahun lalu? Dan kenapa tiga bulan selepas nasibnya dilaporkan secara meluas di media sosial, dia tiba-tiba menjadi layak?

"Apakah kriteria yang digunakan oleh Kementerian Dalam Negeri untuk menentukan siapa yang layak dan siapa yang tidak," soalnya lagi.

Ahli parlimen DAP itu mencadangkan kerajaan memberikan kerakyatan kepada semua kanak-kanak tanpa kerakyatan yang bapanya warga Malaysia jika mereka boleh memberikan bukti DNA.

Kementerian Dalam Negeri sebelum ini enggan menerima bukti DNA tersebut.

Selain itu, Teo turut mencadangkan supaya kanak-kanak tanpa kerakyatan yang diambil sebagai anak angkat secara sah oleh ibu bapa warganegara Malaysia juga harus diberikan kewarganegaraan.

Teo juga memetik keputusan penting Mahkamah Persekutuan pada 19 Nov tahun lalu yang memutuskan bahawa bayi yang ditinggalkan harus diiktiraf sebagai warganegara Malaysia berdasarkan kuat kuasa undang-undang.

"Saya merayu kepada Kerajaan Keluarga Malaysia untuk mencari penyelesaian kekal bagi menamatkan kesengsaraan kanak-kanak tanpa kerakyatan.

“Saya amat berharap agar mereka tidak perlu menunggu masa untuk mendapat pendedahan media sebelum menerima panggilan daripada perdana menteri dan surat kelulusan menteri dalam negeri,” katanya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS