Sebagai pengiktirafan dan penghargaan kepada golongan pekerja dalam menjana kemajuan negara, kerajaan bersetuju memberi 'ganjaran' sempena sambutan Hari Pekerja 2022 bertemakan “Pekerja Tonggak Keluarga Malaysia Dalam Pemulihan Negara”.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata hadiah itu termasuk kerajaan akan menanggung 80 peratus jumlah caruman individu bekerja sendiri menerusi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dengan sasaran sekurang-kurangnya sejuta ahli Keluarga Malaysia mendapat manfaat itu.

Selain itu, melalui Program Pembiayaan Insurans Kenderaan Keluarga Malaysia atau MyEzCover.com yang diperkenalkan mulai hari ini (1 Mei), penjawat awam akan ditawarkan pakej pembiayaan secara ansuran sehingga 10 bulan tanpa sebarang caj faedah dan skim akan diperluaskan kepada sektor swasta.

"Program ini akan dilaksanakan Kementerian Sumber Manusia dengan kerjasama Perkeso dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA)," katanya dalam ucapan khas sempena Hari Pekerja 2022 yang disiarkan secara langsung di TV1, hari ini.

Ismail Sabri berkata gaji minimum RM1,500 yang berkuat kuasa hari ini pula merupakan hadiah kepada golongan pekerja atas dedikasi tanpa jemu dalam membangunkan ekonomi negara.

Perdana Menteri berkata kerajaan juga bersetuju mewajibkan penyediaan taska di tempat kerja bagi sektor awam kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan badan berkanun sebelum diperluaskan ke sektor swasta.

Beliau berkata kerajaan telah menyediakan geran tahunan sebanyak RM10 juta pada 2019 dan RM30 juta sejak 2020 bagi inisiatif berkenaan, sekali gus memberi kelegaan kepada pekerja yang mempunyai anak kecil.

Selain itu, Perdana Menteri berkata pembukaan semula sempadan negara memberi ruang kepada pengambilan semula tenaga kerja asing dalam sektor tertentu terutama sektor 3D (kotor, bahaya dan sukar) namun tindakan itu bukan berhasrat membelakangkan pekerja tempatan.

Ismail Sabri berkata satu mekanisme komprehensif akan dirangka untuk mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing supaya warga tempatan diberi keutamaan terlebih dahulu.

“Kementerian Sumber Manusia telah diminta supaya meneliti dan mengkaji aspek ini agar pekerja tempatan mendapat manfaat dengan menambah baik kadar gaji, pakej pekerjaan dan kemajuan kerjaya,” katanya.