Azmin: SPR kata JPM arah beku penjualan senarai pemilih
Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali berkata, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) tidak mahu menjual senarai pemilih terbaru kepada parti itu sejak November lalu.
Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali berkata, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) tidak mahu menjual senarai pemilih terbaru kepada parti itu sejak November lalu.
Menurutnya, SPR memberi alasan bahawa pembekuan penjualan senarai pemilih itu dibuat kerana arahan Jabatan Perdana Menteri.
"Saya memerlukan senarai tersebut kerana mahu memastikan 180,000 pemilih yang telah meninggal dibuang dari senarai pemilih seperti yang didakwa SPR.
"Sebelum ini PKR membayar RM50,000 untuk mendapatkan senarai daftar pemilih, adakah SPR sebuah syarikat perniagaan,?" katanya dalam satu sidang akhbar bersama dengan Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa di ibunegara hari ini.
Sidang akhbar bersama itu diadakan untuk menjelaskan tindakan Barisan Alternatif (BA) memboikot pilihanraya kecil Batu Talam pada 28 Januari ini.
Sehubungan itu, Azmin berkata, isu daftar pemilih yang tidak tepat dan diragui merupakan salah satu sebab mengapa BA mengambil keputusan untuk memboikot pilihanraya kecil Batu Talam.
Keputusan berat
"Pemulauan piliharanraya kecil ini merupakan satu keputusan yang berat tetapi ada ada kebijaksanaan kepada BA," katanya.
Beliau juga hairan bagaimana nama tujuh pengundi keturunan Cina disenaraikan sebagai pemilih di alamat rumah kediaman bapanya di Ulu Klang, sedangkan ia merupakan sebuah kawasan Melayu.
Ada juga, katanya, pemilih yang disenarai menggunakan alamat kondominium sedangkan tidak terdapat binaan tersebut di kawasan berkenaan.
Semalam, Nasharuddin Mat Isa mengumumkan dalam satu majlis bersama PAS dan PKR di Kampung Sega, Raub malam tadi bahawa parti komponen BA itu memboikot pilihanraya kecil tersebut.
Bercakap dalam sidang akhbar itu, Nasharuddin berkata, pemboikotan pilihanraya kecil Batu Talam sebagai satu isyarat supaya kerajaan SPR)mengadakan pilihanraya yang bersih dan adil.
Katanya, sejak sebelas kali pilihanraya umum diadakan ia penuh dengan penyelewengan dan tidak adil.
"Kami menghantar isyarat yang kuat kepada SPR supaya melakukan reformasi total bagi menjamin pilihanraya yang adil dan bersih," katanya.
Jalan terakhir
Nasharuddin berkata, BA, DAP dan 25 badan bukan kerajaan (NGO) akan menjelajah ke seluruh negara untuk memberitahu rakyat mengenai keadaan sebenar proses pilihanraya di negara ini.
Katanya, kenyataan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman bahawa suruhanjaya itu akan memperbetulkan proses perjalanan pilihanraya adalah untuk memancing pembangkang supaya menyertai pilihanraya kecil Batu Talam.
"Tetapi kami telah mengambil keputusan untuk memboikot pilihanraya tersebut," katanya lagi.
Ketua Penerangan PKR Tian Chua pula berkata, langkah memboikot pilihanraya merupakan jalan terakhir di mana mahkamah sendiri tidak boleh membetulkan keadaan.
Di negara lain, katanya, jika ada seorang pengundi hantu, mahkamah akan membatalkan keputusan pilihanraya tersebut tetapi ianya tidak berlaku di Malaysia.

