PAS cuba teruskan kerjasama Muafakat Nasional tetapi Umno 'sibuk'
Usaha PAS Terengganu untuk meneruskan kerjasama Muafakat Nasional (MN) dengan sekutunya, Umno berdepan jalan buntu.
Menurut Pesuruhjaya PAS Terengganu, Husain Awang, pihaknya sudah cuba untuk mengatur dua pertemuan namun tidak berjaya.
"Kita cuba untuk mengadakan pertemuan ataupun mengadakan kerjasama dalam semua gerak kerja politik, tapi percubaan-percubaan itu tak dapat dilaksanakan lagi sehingga hari ini.
"Bagi pihak Pas, kita telah membuat hubungan sebanyak dua kali, tapi kedua-duanya gagal. Masih gagal, masih tak berjaya lagi kerana Umno sibuk," katanya yang dipetik portal Astro Awani.

Ketika ini, PAS mempunyai majoriti dua pertiga - 23 daripada 33 kerusi - dalam dewan undangan negeri Terengganu manakala Umno memiliki 0 kerusi.
Umno melalui gabungan BN telah memenangi setiap pilihan raya negeri di Terengganu kecuali pada 1999 dan 2018.
Pada 2019, Umno dan PAS memeterai piagam Muafakat Nasional sebagai langkah ke arah pakatan pilihan raya rasmi.
Bagaimanapun, pada tahun berikutnya, PAS menyertai gabungan Perikatan Nasional, yang tidak disenangi oleh Umno.
Secara rasmi, PAS masih cuba menjalin pakatan yang terdiri daripada Umno dan Bersatu.

Bagaimanapun, Umno menyaksikan kebangkitan semula sejak 2018, dengan memenangi beberapa kerusi semasa pilihan raya kecil dan menunjukkan prestasi yang memberangsangkan semasa pilihan raya negeri Sabah 2020.
Rekod Umno juga cemerlang apabila BN memenangi pilihan raya negeri Melaka 2021 dan pilihan raya negeri Johor 2022 dengan mengalahkan Bersatu dan PAS serta gabungan pembangkang, termasuk Pakatan Harapan.
Sebelum ini, Pengerusi Umno Terengganu, Ahmad Said menyifatkan gabungan MN di negeri tersebut sudah ‘mati’.
Bekas menteri besar itu juga berkata, Umno akan bertanding di semua 32 kerusi negeri serta lapan daripada 12 kerusi parlimen pada pilihan raya umum akan datang.

