Badan Peguam Malaysia akan mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) pada 27 Mei ini bagi membincangkan dakwaan campur tangan dan ugutan terhadap badan kehakiman yang dikatakan boleh mengganggu-gugat keyakinan masyarakat umum dan fungsi adan ehakiman sebagai sebuah institusi yang bebas.

Mereka juga akan membincangkan akibat kegagalan mematuhi perlindungan dan mekanisme perlembagaan yang diperuntukkan mengikut Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan.

Sub-peruntukan di bawah Perkara 125 memperkatakan tentang tempoh perkhidmatan dan saraan hakim manakala Perkara 124(3) memperkatakan tentang tribunal untuk memecat hakim.

Notis untuk EGM, yang akan diadakan di Wisma MCA, Kuala Lumpur itu telah diedarkan kepada ahli semalam oleh setiausaha Badan Peguam, Anand Raj.

Ahli juga boleh mencadangkan usul tambahan tujuh hari sebelum mesyuarat.

Dakwaan campur tangan kehakiman timbul selepas timbul dakwaan menuduh hakim Mahkamah Rayuan Mohd Nazlan Mohd Ghazali mempunyai kekayaan yang tidak dapat dijelaskan puncanya.

Hakim Nazlan kini disiasat oleh polis dan SPRM.

Dia telah membuat laporan polis untuk menafikan dakwaan yang diterbitkan oleh blog laman web Malaysia Today.

Hakim Nazlan ialah bekas ahli korporat sebelum dilantik sebagai pesuruhjaya kehakiman pada 2015. Dia dinaikkan pangkat sebagai hakim mahkamah tinggi pada 2017.

Pada 7 Julai 2020, Hakim Nazlan mensabitkan Najib Razak atas kesalahan pengubahan wang haram, pecah amanah jenayah dan salah guna kuasa berhubung RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd yang ditemui dalam akaun bank tertuduh.

Najib dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.