KKM tubuh pasukan petugas siasat kematian doktor pelatih
Kementerian Kesihatan (KKM) akan menubuhkan sebuah pasukan petugas untuk menyiasat kematian seorang doktor pelatih di Pulau Pinang.
Perkara itu disahkan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menerusi akaun media sosialnya hari ini.
"Saya telah menerima laporan awal mengenai kematian seorang doktor pelatih dari ketua jabatan mendiang di Pulau Pinang.
"Pihak polis juga sedang lengkapkan siasatan. @KKM Putrajaya akan menubuhkan sebuah taskforce bebas untuk siasat kes ini dan juga budaya 'buli' yang didakwa berlaku," katanya di Twitter.
Pada 17 April, doktor pelatih berkenaan dilaporkan maut selepas dipercayai terjun dari tingkat 23 sebuah pangsapuri, dua minggu selepas bertugas di hospital besar Pulau Pinang.
Berikutan itu, beberapa laporan berita membuat spekulasi kejadian itu mungkin ada kaitan dengan gejala buli di kalangan doktor pelatih.
Setakat ini, polis belum mengeluarkan butiran terpeinci mengenai kes berkenaan, manakala laporan perubatan juga masih belum dikeluarkan.
Polis pada masa ini mengklasifikasikan kes itu sebagai "mati mengejut".
Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dalam balasan terhadap ciapan Khairy berkata pihaknya sedang menunggu hasil siasatan polis dan laporan bedah siasat termasuk keputusan kimia.
“Budaya buli adalah salah dan tidak boleh diterima di mana-mana terutama di hospital,” kata Dr Noor Hisham.
Insiden itu turut mendapat perhatian daripada exco Pulau Pinang Norlela Arifin yang mendakwa menerima banyak aduan mengenai kegiatan buli terhadap doktor pelatih.
Norlela berkata dia akan memanggil mesyuarat Jawatankuasa Kesihatan Kerajaan Negeri berhubung masalah yang dihadapi doktor pelatih.
Sebelum ini, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang Dr Maarof Sudin mengesahkan mangsa adalah pegawai perubatan sSiswazah yang melapor diri pada 4 April lepas di HPP.
Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut Supt V Saravanan dilaporkan hari ini berkata pihak polis sedang giat menjalankan siasatan berhubung kejadian tersebut.
Dia berkata setakat ini pihak polis sudah merakamkan keterangan daripada doktor dan rakan serumah doktor pelatih tersebut dan seterusnya akan mengambil keterangan daripada ahli keluarganya dalam masa terdekat bagi membantu siasatan.

