Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menggariskan enam matlamat utama yang akan menjadi tumpuannya jika menjadi Perdana Menteri.

Beliau yang juga penasihat utama PKR berkata, lima matlamat tersebut ialah memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), menghapuskan rasuah, memperbetulkan badan kehakiman, media bebas dari kongkongan, dasar ekonomi yang lebih adil, tarik lebih pelaburan dan hentikan pelanggaran hak asasi manusia.

Katanya, di era pemerintahan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, sistem yang sedia ada tidak berubah, tambahan pula sudah terjadi ketengan perkauman dan agama.

Sektor ekonomi juga, tambah Anwar, membimbangkan manakala indeks korupsi kebebasan media dan pelaburan langsung luar negara juga merosot.

"Saya akan memberi fokus kepada hal-hal berkenaan apabila saya dipilih sebagai Perdana Menteri," katanya dalam satu wawancara dengan majalah Tempo, Indonesia yang disiarkan dalam keluaran terbaru lidah rasmi PKR Suara Keadilan.

Wawancara itu diadakan ketika Anwar melawat Indonesia pada 18 Disember lalu. Beliau turut menemui Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla, ahli perniagaan Abdul Latief dan Chairul Tanjun serta ahli akademi, Adi Sasono.

Beliau juga melawat Universiti Al-Azhar, Kebayoran Baru dan dikatakan diberi sambutan hangat.

Globalisasi

"Kami akan lebih kompetetif dan menerima globalisasi. Pada masa ini Malaysia telah kalah kepada China, India, Singapura, Korea Selatan dan Taiwan dari segi teknologi dan pendapatan yang lebih baik.

"Padahal Malaysia memiliki ramai cerdik pandai dan boleh pilih mereka ini untuk mengetuai univesiti di dalam negara.

"Bukan dengan mengambil ketua-ketua Umno untuk memimpin universiti kerana ia tidak boleh menghasilkan yang terbaik," katanya.

Anwar juga menegaskan pendapat bahawa rasuah tidak boleh dibanteras adalah tidak benar kerana pada 1960-an Hong Kong yang teruk dengan masalah rasuah, kini menjadi salah satu yang terbersih di Asia.

Selain itu, beliau juga akan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), pelanggaran hak asasi manusia dihentikan, media massa yang bebas, badan kehakiman diperbetulkan.

Anwar berkata, beliau tidak pernah terfikir untuk berundur dari politik kerana selagi yakin dengan kebenaran beliau akan menang dan akan menggunakannya sebaik-baiknya.

Ketika ditanya adakah beliau akan memaafkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir yang memecatnya pada 1998, Anwar berkata: "Saya bukan wakil rakyat yang membuat keputusan untuk memberi maaf."

Beliau menambah: "Kalau dia salah kepada saya, saya maafkan, tetapi kalu dia curi wang rakyat, haruslah dikembalikan."