MTEM risau pemberian lesen bank digital kepada syarikat gergasi
Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) melahirkan kembimbangan berhubung pemberian lesen bank digital kepada konsortium ataupun syarikat gergasi yang dikhuatiri gagal memenuhi aspirasi negara.
Pengerusinya, Abdul Halim Husin, berkata di negara lain bank digital lebih bersifat neo bank atau bank-bank kecil untuk mengimbangi pegangan bank-bank kapitalis yang gemar meletakkan kumpulan “unserved dan undeserved” dalam kategori nilai kredit rendah.
"Termasuklah mereka yang kurang mendapat perkhidmatan dan tidak berkhidmat, mereka yang tidak mempunyai akaun bank atau di kawasan terpencil yang tiada cawangan bank tetapi masih mempunyai akses kepada sambungan internet.
"Tetapi di Malaysia nampaknya keadaan belum berubah. Pemberian lesen kepada konsortium bagi memenuhi kriteria yang ditetapkan Bank Negara Malaysia (BNM) atau kepada syarikat- syarikat gergasi asing nampaknya seperti mahu terus mengikut acuan bank-bank kapitalis, atau cenderung untuk mengikut model bank digital negara-negara bertaraf 'city-states' seperti Hong Kong, Singapura dan Israel yang sudah tentu tidak sama dengan matlamat serta kehendak kita di Malaysia.
"Pada masa yang sama, MTEM sememangnya bimbang dengan kadar keberhutangan individu dan negara yang terlalu tinggi, tetapi lebih gusar melihat kecenderungan kerajaan untuk menggalakkan rakyat berhutang dan bukan sebaliknya.
"Perbankan digital berpotensi mendedahkan kumpulan sasaran kepada kredit, dan jika mereka tidak mempunyai pengetahuan kewangan yang betul mereka akan terbeban dengan hutang tanpa ada jalan untuk membayar semula hutang-hutang tersebut. Perbankan digital mesti menyelesaikan masalah bukan menambah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada 29 Apr lalu BNM mengumumkan pemberian lesen bank digital kepada lima syarikat ataupun konsortium yang layak.
Lima konsortium tersebut iaitu, Boost Holdings Bhd-RHB Bank Bhd, GXS Bank Pte Ltd-Kuok Brothers Sdn Bhd, Sea Ltd-YTL Digital Capital Sdn Bhd, AEON Financial Service Co Ltd-AEON Credit Service (M) Bhd-MoneyLion Inc dan KAF Investment Bank Sdn Bhd.
Dalam kenyataannya, BNM berkata Boost-RHB Bank, GXS Bank-Kuok Brothers dan Sea Ltd-YTL Digital Capital dilesenkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (APK).
Manakala konsortium AEON Financial Service-AEON Credit-MoneyLion dan KAF Investment Bank dilesenkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (APKI)
Dalam pada itu, Abdul Halim berkata, MTEM menyokong pemberian lesen bank digital sebagai instrumen kewangan baru yang berpotensi besar dimajukan.
Bagaimanapun katanya pengumuman terbaru itu tidak membayangkan kefahaman serta kesungguhan kerajaan untuk menangani kemelut sosio ekonomi negara yang semakin meruncing.
"Kebimbangan ini ada asasnya memandangkan tidak nampak pun perbezaan jelas antara pembida milik penuh tempatan dengan pembida asing (tiga daripada mereka adalah syarikat asing); atau antara pembida lesen digital bank konvensional dengan pembida lesen digital bank Islam.
"Bahkan jika dipecah-pecahkan lebih 29 syarikat usaha sama atau konsortium yang memohon kepada syarikat-syarikat individu, agaknya berapa pula bilangan atau peratusan syarikat tempatan dan syarikat Bumiputera berbanding syarikat asing?" katanya lagi.

