Seorang bapa hari ini membuat laporan polis mendakwa anaknya yang berumur 15 tahun cedera parah akibat dikasari polis di jalan bendang di Cherang Rotan dekat Pasir Puteh, Kelantan, Khamis lalu.

Haris Abdullah, 45, berkata anaknya, Rais Yatimi, yang cedera di kepala, kaki kanan dan bahagian belakang dirawat di Hospital Tengku Anis di Pasir Puteh.

Menurut laporan Bernama, beliau mendakwa anaknya sedang menunggang motosikal di jalan Ladang Merdeka dalam perjalanan pulang dari rumah kawannya di Kampung Merkang ke Bukit Abal apabila dikejar kereta peronda polis.

"Motosikalnya terjatuh dipercayai dirempuh dari arah belakang oleh kereta berkenaan. Mengikut maklumat penduduk kampung yang melihat kejadian itu, salah seorang anggota polis mengheretnya secara kasar menyebabkan Rais Yatimi mendapati kecederaan," katanya.

Haris memberitahu pemberita demikian selepas membawa anaknya keluar dari hospital berkenaan hari ini.

Sementara itu, Rais mendakwa polis mengejarnya setelah gagal mengesan satu kumpulan "mat rempit" yang melarikan diri.

"Selepas terjatuh, saya tidak sedarkan diri", katanya.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh DSP Mohd Kamal Zainal ketika dihubungi berkata dakwaan remaja itu tidak benar kerana dia terjatuh dengan sendirinya.

Katanya, kawasan itu memang merupakan tumpuan "mat rempit".