Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Bubarlah PAS, biar Umno bawa agenda Islam'
Diterbitkan:  May 11, 2022 6:23 PM
Dikemaskini: 10:23 AM

Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan mencadangkan PAS dibubarkan kerana menurutnya Umno sudah cukup membawa wadah perjuangan Islam.

Jelasnya, Umno telah meminda perlembagaan parti pada 2019 dengan meletakkan agenda mempertahan dan mendukung cita-cita agama Islam sebagai asas dan tujuan utama berbanding mendukung perjuangan kebangsaan Melayu.

"Fasal 3.1 Perlembagaan Umno, sebelum ini diletakkan dalam Fasal 3.3, tapi sekarang sudah dinaikkan ke Fasal 3.1, iaitu menegak dan mempertahan Islam sebagai agama persekutuan serta menghormati prinsip kebebasan beragama seperti termaktub dalam Perlembagaan.

"Saya ingin menyeru kepada PAS, bubarkanlah PAS, itu mesej penting, sampaikan kepada rakan, ramai orang Kelantan di sini, PAS utamanya di Kelantan. Baru-baru ini mereka mahu berbaik dengan kita, kita rasa elok bubar, tengok perlembagaan Umno," katanya seperti dilaporkan BH Online, hari ini.

Tambahnya, dakwaan bekas pemimpin utama PAS dulu bahawa Umno bukan parti memperjuang agenda Islam, kini sudah meleset.

"Dengar betul-betul, asas dan tujuan Umno sudah dipinda. Umno adalah sebuah parti politik yang mendukung cita-cita agama Islam. Sebelum ini tidak diletak dalam asas dan tujuannya (dalam perlembagaan), sekarang sudah ada.

"Sebelum ini Umno, sebuah parti politik yang mendukung perjuangan kebangsaan Melayu, itu yang pertama.

"Sekarang yang pertama, Umno adalah sebuah parti politik yang mendukung cita-cita agama Islam, kebangsaan Melayu, Bumiputera, anak negeri Sabah dan Orang Asli serta perpaduan Melayu dan kemakmuran serta kestabilan negara. Itu asas perjuangan Umno yang kita sudah pinda 2019," katanya dipetik sebagai berkata.

Lihat Komen
ADS