Lagi pekerja dari India ditipu, tak dibenarkan masuk Malaysia
Seramai 50 lagi pekerja dari India diberikan arahan agar "tidak mendarat" di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 semalam, kata sumber yang rapat dengan Suruhanjaya Tinggi India.
Menurut sumber berkenaan, mereka ini tidak termasuk pekerja Bangladesh dan Nepal yang turut menghadapi kesulitan yang sama.
Terdahulu kira-kira 200 pekerja dari India dihalang memasuki negara ini dan dihantar pulang dari KLIA2 minggu lepas, walaupun membayar ejen ribuan ringgit untuk bekerja di negara ini. Mereka dipercayai cuba dibawa oleh ejen yang tidak sah,
Mengesahkan laporan Malaysiakini sebelum ini, sumber Suruhanjaya Tinggi India berkata pekerja Nepal dan Bangladesh juga diberikan arahan "tidak mendarat" atas sebab yang sama, namun tidak dapat memberikan angka yang tepat.
Dalam satu kenyataan minggu lalu, Suruhanjaya Tinggi India berkata pekerja dari negara itu diberikan arahan sedemikian kerana tidak dapat menunjukkan bukti wang mencukupi, penginapan dan tiket pulang.
Sumber itu berkata, pemeriksaan sama yang dijalankan oleh Jabatan Imigresen Malaysia di pintu masuk negara ini sepatutnya dilakukan sebelum visa dikeluarkan.
"Suruhanjaya Tinggi Malaysia di India sepatutnya bertanya soalan yang sama sebelum mengeluarkan visa (pelancong) mereka," katanya.
Dia berkata pekerja berkenaan tidak memahami syarat visa yang dikeluarkan kepada mereka, dan mereka juga tidak mengetahui prosedur operasi standard yang dikenakan ke atas ekspatriat.
“Minat mereka tertumpu kepada pekerjaan yang tersedia untuk mereka, jumlah gaji mereka dan bagaimana cara menghantar wang ke kampung.
"Mereka mungkin diberitahu seseorang akan menunggu mereka di lapangan terbang di Malaysia dan mereka hanya ikut arahan," kata sumber itu, yang menambah ramai pekerja hilang wang simpanan dan berhutang untuk bekerja di negara inni.
Sumber itu berkata syarikat penerbangan juga bertanggungjawab menyemak butiran penerbangan kerana ramai pekerja berkenaan tiba di Malaysia dengan tiket pulang palsu.
Mengesahkan perkara itu, penyelaras kumpulan advokasi yang berpangkalan di India, Parvasi Legal Cell's Malaysia And Singapore, Zahir Hussain berkata pekerja terbabit juga cuba masuk sebagai pelancong seperti dinasihatkan oleh ejen.
Dia menggesa pekerja memastikan mereka telah menandatangani kontrak pekerjaan sebelum membayar sebarang yuran pengambilan kepada ejen.
Sementara itu, Menteri Sumber Manusia, M Saravanan berkata pekerja yang cuba dibawa masuk sebagai pelancong, juga boleh dianggap sebagai kes pemerdagangan manusia.
Dia berkata pemerdagangan manusia bukan hanya terhad kepada mereka yang diseludup masuk ke negara ini melalui sempadan tanpa kebenaran.
“Pekerja asing yang dibawa masuk ke negara ini sebagai pelancong dan dibawa bekerja dalam pelbagai sektor juga dianggap sebagai pemerdagangan orang,” katanya dalam temu bual di Vanakkam Malaysia pada 9 Mei.

