Khalwat: Jaipp tidak pernah cuba tutup kes orang politik
Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (Jaipp) tidak pernah membuat tangkapan ke atas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) atas kesalahan khalwat di negeri itu.
Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (Jaipp) tidak pernah membuat tangkapan ke atas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) atas kesalahan khalwat di negeri itu.
Pegawai Pengkuatkuasa Kanan Jaipp, Mohd Rejab Ali berkata, pihaknya tidak pernah menerima sebarang aduan mengenai kesalahan khalwat membabitkan Adun atau Ahli Parlimen.
.
"Saya tidak tahu dari mana mereka mendapat berita itu," katanya ketika dihubungi malaysiakini berhujung perkara tersebut..
Malaysiakini menghubungi Jaipp bagi mendapatkan penjelasan mengenai laporan oleh akhbar Nanyang Siang Pau bahawa seorang Adun dan pasangannya ditangkap khalwat.
Mohd Rejab berkata, pihaknya tidak pernah cuba menutup sebarang kes membabitkan orang politik sama ada Adun ataupun Ahli Parlimen.
"Kami melayan mereka sama dengan tangkapan ke atas umat Islam lain kerana mereka yang bersalah akan tetap dikenakan hukuman," katanya.
Maipp mempunyai 16 pegawai penguatkuasa dan memandangkan jumlah pertambahan umat Islam, operasi mencegah maksiat diadakan dengan kerjasama polis dan pihak berkuasa tempatan.
Setiap aduan disiasat
Mohd Rejab berkata, pihaknya menerima kira-kira 30 aduan mengenai khalwat sebulan yang turut dilakukan oleh umat Islam warga asing seperti pekerja Indonesia dan Bangladesh.
Katanya, setiap aduan yang diterima, pihaknya akan meneliti dan menyiasat untuk memastikan kesahihannya sebelum bertindak menangkap pesalah khalwat terbabit.
"Mungkin tidak semua aduan yang diterima mempunyai asas untuk disiasat tetapi Jaipp akan memberi perhatian serius terhadap aduan yang diterima," katanya lagi.
Menurutnya, pesalah khalwat akan dikenakan hukuman penjara maksima dua tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.Akhbar berkenaan, bagaimanapun, tidak melaporkan secara khusus tempat dan masa wakil rakyat dan pasangannya ditangkap.
Ia juga tidak menyebut secara khususnya mengenai asal Adun berkenaan, kecuali menyatakan wakil rakyat itu adalah dari negeri yang berdekatan.
Ini bermakna, Adun berkenaan, sama ada dari Kedah, Perak ataupun dari Perlis.

