Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
Lagi berita dari pengarang
mk-logo
Berita
28,957 kes HFMD di seluruh negara dari Jan hingga semalam

Terdapat peningkatan ketara kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di seluruh negara dengan 28,957 kes dilaporkan bagi tempoh Januari lepas hingga semalam berbanding hanya 4,239 kes bagi keseluruhan tahun lepas, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Bagaimanapun beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) sudah menjangkakan peningkatan itu berikutan pembukaan semula semua sektor ekonomi termasuk pengoperasian kembali sektor pendidikan secara bersemuka selain taska dan tadika.

“Ia satu peningkatan mendadak tetapi memang dijangkakan sebab tahun lepas kita laksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) jadi tak boleh keluar, sekarang dah boleh keluar dengan sektor pendidikan dibuka, maka HFMD akan meningkat, kita dah kembali kepada normal, memang ini akan berlaku.

“Ia juga sebagai peringatan kepada orang ramai supaya jaga kebersihan kendiri kerana selama dua tahun kita tak pernah fikir penyakit lain selain COVID-19.. kita jangan lupa COVID-19 dapat diurus dengan baik tetapi kita masih berdepan penyakit berjangkit lain,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri di Rembau hari ini.

Sehubungan itu beliau meminta ibu bapa untuk memanfaatkan aplikasi MySejahtera yang mempunyai ciri-ciri mengetahui kes penyakit berjangkit di kawasan berhampiran sekali gus mengelakkan penyakit berkenaan untuk dijangkiti serta sentiasa menyemak dengan pihak sekolah sekiranya ada kes dilaporkan.

“MySejahtera bukan untuk kesan tapi pelaporan.. kes yang disahkan oleh pejabat kesihatan daerah akan dilapor disitu, jadi pengguna dapat cek berapa banyak kes dalam komuniti. Kita kawal melalui hebahan supaya tahu titik panas, dalam MySejahtera boleh tengok titik panas kes HFMD,” katanya.

Ditanya sama ada terdapat keperluan untuk menutup sekolah setakat ini, Khairy berkata ia perlu dilihat dengan keadaan semasa dan protokol yang dikeluarkan pejabat kesihatan masing-masing selain ibu bapa perlu sentiasa berwaspada dengan penularan kes itu.

Sementara itu beliau berkata kes COVID-19 mengalami sedikit peningkatan setelah hampir dua minggu memasuki Syawal, dan beliau turut menggalakkan orang ramai untuk terus memakai pelitup muka ketika berada di kawasan sesak bagi mengurangkan kesan jangkitan COVID-19.

Khairy turut mengajak orang ramai terutama warga emas berusia 60 tahun ke atas serta mempunyai penyakit kronik yang sudah melepasi enam bulan selepas dos penggalak untuk menerima satu lagi suntikan COVID-19 secara sukarela bagi meningkatkan imuniti diri.

- Bernama

Lihat Komen