Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Umno pinda perlembagan esok untuk perkasa parti - Zahid
Diterbitkan:  May 14, 2022 12:49 PM
Dikemaskini: 12:49 PM

Umno akan mengadakan perhimpunan agung khas (EGM) parti itu esok bagi meminda perlembagaan parti untuk membolehkan pemilihan parti itu diadakan dalam tempoh enam bulan selepas pilihan raya umum (PRU).

EGM itu diadakan selaras dengan keputusan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2021, yang bersetuju untuk menangguhkan pemilihan parti selepas PRU bagi mengelak perpecahan dalaman.

Pindaan ini juga memberi isyarat bahawa Umno-BN telah berada dalam keadaan siap siaga untuk menghadapi PRU ke-15.

Ia selepas parti itu membuat ketetapan menolak sebarang keputusan oleh Putrajaya untuk melanjutkan memorandum persefahaman (MoU) dengan pembangkang yang bakal berakhir Julai nanti.

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, berkata pindaan itu bertujuan memastikan seluruh kekuatan Umno dapat digemblengkan bagi menghadapi PRU tanpa ancaman dan risiko perpecahan.

"Ia merupakan satu lagi langkah dan usaha keterhadapan untuk memperkasakan Umno dalam berdepan dengan cabaran mendatang.

"Pindaan itu kelak meletakkan Umno dalam keadaan paling kemas, tersusun dan berdaya setiap kali memasuki gelanggang PRU," tulis Ahmad Zahid di Facebooknya.

Tegasnya, tranformasi yang dilakukan oleh Umno itu bukan bertujuan untuk menjaga kepentingannya sebagai presiden parti.

Perhimpunan khas esok adalah selaras dengan kehendak ditetapkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

Pindaan yang akan dilakukan esok adalah untuk meminda ‘klausa’ yang termaktub dalam Perlembagaan Umno.

Klausa 10.16 Perlembagaan Umno yang ada mengatakan parti itu dibenarkan untuk memanjangkan tempoh khidmat pemegang jawatan 18 bulan selepas tamat tempoh ‘atau’ selepas masa enam bulan PRU.

Usul pindaan untuk pemilihan parti diadakan hanya selepas PRU itu akan dibuat di hadapan 2,666 perwakilan yang dijangka hadir esok.

Naib Presiden Umno, Mohamed Khaled Nordin dijangka akan mengemukakan usul berkenaan pada EGM itu esok.

Untuk rekod pada 2009 Umno melakukan tujuh pindaan terhadap perlembagaan parti itu pada EGM yang diadakan bulan Okt.

Lihat Komen