Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Afifi lepas jawatan penasihat sultan Perak
Diterbitkan:  May 15, 2022 1:59 PM
Dikemaskini: 5:59 AM

Selepas dilanda kontroversi baru-baru ini, Felo Pusat Pengajian Islam Universiti Oxford, United Kingdom Dr Afifi al-Akiti disahkan melepaskan gelaran ‘orang kaya-kaya imam paduka tuan, orang besar delapan negeri Perak’ merangkap penasihat rasmi sultan Perak dalam hal ehwal Islam.

Perkara itu disahkan Setiausaha Dewan Negara Perak, Ayop Hashim, dalam satu kenyataan media, hari ini, menyatakan warkah pengunduran diri daripada gelaran itu yang bertarikh hari ini diutuskan Afifi bagi memohon perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah untuk berundur daripada menyandang gelaran terbabit.

"Warkah beliau sudah diangkat sembah untuk pertimbangan Sultan Nazrin. Baginda menzahirkan penghargaan atas segala khidmat bakti yang diberikan Dr Afifi dalam tempoh menyandang gelaran orang kaya-kaya imam paduka tuan.

"Baginda juga berkenan menerima permohonan itu (pengunduran) untuk dikuatkuasakan pada 15 Mei 2022," kata Ayop.

Sebagai rekod sebelum ini tular satu rakaman video yang memaparkan kelibat seorang lelaki yang wajahnya didakwa mirip Afifi dengan memakai topi selain diapit dua wanita dipercayai dalam sebuah kelab malam.

Lelaki dalam rakaman video itu kelihatan sedang menikmati lagu dan muzik sambil beraksi seolah-olah sedang bermain drum.

Sementara itu kenyataan Ayop turut dilampirkan bersama salinan surat yang diutus Afifi kepada Dewan Negara Perak.

Afifi mengakui pengundurannya adalah berkait rapat dengan penularan bahan di media sosial yang dilihat bertujuan mencemarkan namanya sejak dua minggu kebelakangan ini.

Berdasarkan surat itu, dia tidak mengulas atau memberi sebarang jawapan yang boleh mencetuskan berlakunya perdebatan berpanjangan yang tidak memberi sebarang manfaat.

Jelasnya, bahan-bahan yang ditularkan itu kelihatan mempersoal kesesuaian peranannya dengan institusi istana serta mempertikaikan peranannya dengan urusan hal ehwal agama Islam.

"Menginsafi perkara ini yang jika berlarutan dan tidak dibendung akan menjejaskan kemuliaan raja pemerintah dan institusi istana, saya mengutus warkah ini untuk menyampaikan hasrat ikhlas mahu berundur diri daripada menyandang gelaran orang kaya-kaya imam paduka tuan.

"Keputusan ini saya lakukan atas rasa tanggungjawab dan sifat taat setia seorang rakyat kepada sultannya, demi melindungi darjat kemuliaan sultan Perak agar tidak dicacatkan dan begitu juga untuk mengelak institusi istana daripada dicemari," tulis Afifi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS