Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menegaskan pindaan perlembagaan parti itu bukan bertujuan untuk menyelamatkan kendudukannya.

Jelasnya amat malang jika ada dalam kalangan pemimpin parti itu yang mempercayai tuduhan sedemikian.

Sebaliknya, kata Zahid, perkara ini adalah gesaan akar umbi parti.

"Saya mendengar adanya suara-suara di kalangan kita, kononnya pindaan ini untuk menyelamatkan kedudukan Zahid Hamidi sebagai presiden. Suka saya tegaskan, ia tidak benar.

"Dangkallah jika ada di kalangan kita, termasuk saf kepimpinan tertinggi parti, berpandangan dan berfikiran sempit sedemikian.

"Jangan kita buat-buat lupa, gesaan agar pemilihan parti diadakan selepas pilihan raya umum adalah usul daripada majoriti bahagian-bahagian yang telah mengadakan Mesyuarat Perwakilan Umno bahagian masing-masing," katanya ketika berucap pada Perhimpunan Agung Umno Khas (EGM), di Kuala Lumpur, petang ini.

Umno mengadakan EGM bagi meminda perlembagaan parti untuk membolehkan pemilihan parti itu diadakan dalam tempoh enam bulan selepas pilihan raya umum (PRU).

EGM ini diadakan selaras dengan keputusan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2021, yang bersetuju untuk menangguhkan pemilihan parti selepas PRU bagi mengelak perpecahan dalaman.

Ahmad Zahid berkatan pindaan ini adalah manifestasi suara akar umbi untuk melihat parti semakin kukuh bagi menghadapi pilihan raya.

"Saya yakin saudara saudari sekalian hendak melihat parti kita kukuh dan berpadu. Adat memimpin, apa pun yang datang, bahtera perlu diselamatkan. Walau diri terkorban, namun bahtera jangan dibiarkan karam.

"Saya ingin tegaskan, pindaan perlembagaan kali ini akan memberi ruang kepada pasukan, atau 'team' kepimpinan pusat, bahagian dan cawangan, bagi setiap penggal pemilihan, untuk memfokuskan gerak kerja menghadapi pilihan raya-pilihan raya umum," katanya.

Lihat Komen
ADS