Sayu, hiba ketika ziarah pusara Haron Din - Azmin
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali mengimbau kenangan sewaktu bersama bekas pemimpin PAS yang juga tokoh agamawan Allahyarham Haron Din.
Menulis di Facebooknya, Azmin berkata dia sempat menziarahi pusara Allahyarham di Tanah Perkuburan Islam Five Pillars Farm Livermore, California, semalam.
"Suasana sayu dan hiba tatkala saya tiba di pusara almarhum, mengenangkan pertemuan terakhir kami pada 9 Sep 2016 di Masjid Al Umm, Bangi, sehari sebelum almarhum dan keluarga berangkat ke Amerika Syarikat untuk menjalani rawatan.
"Sedih apabila menerima panggilan telefon dari ahli keluarga yang memaklumkan Tuan Guru menghembuskan nafas terakhir pada 15 September 2016, hanya beberapa hari selepas pertemuan kami.
"Hari ini (semalam), 15 Mei 2022, saya menziarahi pusara almarhum. Saya membacakan surah al Fatihah dan Yaasin dengan perasaan yang amat sedih di atas perpisahan ini," katanya dalam hantaran itu.
Allahyarham Haron merupakan bekas mursyidul Am PAS yang sangat disegani dan dihormati kawan mahu pun lawan.
Arwah meninggal dunia sewaktu menjalani rawatan di Amerika Syarikat dan disemadikan di negara itu.
Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata Haron menyumbang kepada perkembangan Islam di Malaysia dan juga rantau ini.
"Selain merupakan tokoh sarjana muslim yang menyemai intelektualnya dan tradisi keilmuan, almarhum juga memainkan peranan besar dalam memasyarakatkan penghayatan al-Quran," katanya lagi.

