Bekas pengerusi 1MDB Mohd Bakke Salleh memberitahu mahkamah bahawa dia menghadiri dua mesyuarat untuk arahan “garis panduan” sebelum memberi keterangan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pada 11 Feb 2016.

Saksi pendakwaan ke-15 itu memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini bahawa Najib Razak mengarahkannya supaya menghadiri mesyuarat itu bagi mengelakkan nama perdana menteri ketika itu serta tokoh penting Low Taek Jho (Jho Low) daripada dikaitkan semasa pendengaran PAC mengenai urusan 1MDB.

Semasa perbicaraan rasuah Najib yang terpalit dengan dakwaan penyelewengan dana RM2.28 bilion 1MDB, Bakke memberitahu bahawa kedua-dua mesyuarat itu - berlangsung dua minggu sebelum pendengaran PAC - dijalankan oleh pengerusi PAC ketika itu Hasan Arifin dan diadakan di rumah pengarah urusan TV3 ketika itu Ahmad Farid Ridzuan .

Saksi itu berkata Najib menelefonnya supaya menghadiri mesyuarat berkenaan. Mesyuarat pertama dihadiri oleh bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi, manakala mesyuarat kedua pula oleh ketua pegawai eksekutif 1MDB yang baru, Arul Kanda Kandasamy.

“Beliau (Najib) mahu saya berjumpa dengan Hasan Arifin dan juga Farid Ridzuan, hanya untuk memastikan kita semua memahami secara kasar apa yang perlu dikongsi atau diperkatakan di PAC, dan itulah intipatinya, semacam keharmonian.

“Pada masa itu yang menjadi perhatian adalah untuk menjaga reputasi PM, bimbang akan kejatuhan daripada perkara 1MDB ini, saga 1MDB,” dakwa Bakke.

"Mesyuarat itu supaya ada garis panduan tertentu apabila (saya beri keterangan) kepada PAC supaya saya tidak mengeluarkan apa-apa yang sensitif yang boleh menimbulkan kesan yang tidak sepatutnya, itu yang saya tafsirkannya," kata Bakke kepada hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah.

Saksi itu memberitahu mahkamah bahawa dia mendapat tanggapan daripada dua pertemuan itu bahawa Hasan dan Farid cuba untuk membuatnya tidak memberi kenyataan yang terlalu keras kepada PAC.

Bakke menegaskan bahawa dia tidak membiarkan mesyuarat itu mempengaruhi keterangannya kepada PAC.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan Mohd Bakke memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa Najib telah memintanya supaya bertemu bekas Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Hasan Arifin bagi mendapatkan 'garis panduan' berhubung keterangannya kepada PAC pada 2016.

Mohd Bakke, 68, berkata beliau menerima panggilan daripada bekas perdana menteri itu kira-kira dua minggu sebelum prosiding PAC pada 11 Feb 2016.

“Saya menerima panggilan daripada Najib meminta saya berjumpa dengan Pengerusi PAC Hasan Arifin.

“Beliau mengajak saya berjumpa di rumah Ahmad Farid Ridzuan, bekas pengarah urusan TV3. Dan kalau saya boleh ingat, panggilan telefon daripada PM, pastinya sebelum prosiding PAC.

“Beliau mahu saya berjumpa dengan Hasan Arifin dan juga Farid Ridzuan, hanya untuk memastikan kita semua memahami secara kasar apa yang perlu dikongsi atau diperkatakan di PAC, dan itulah intipatinya, semacam keharmonian. Pada masa itu yang menjadi perhatian adalah untuk menjaga reputasi PM, bimbang akan kejatuhan daripada perkara 1MDB ini, saga 1MDB.

"Saya kata ok, tetapi saya juga sebutkan kepada PM, kebimbangannya akan reda jika saya tidak dipanggil ke prosiding ini, itu lebih baik, tetapi bukan itu yang berlaku, saya dipanggil," katanya.

Beliau berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam Muhammad Shafee Abdullah dalam perbicaraan bekas perdana menteri itu berhubung penyelewengan RM2.3 bilion daripada dana 1MDB.

Saksi itu selanjutnya berkata beliau bertemu Hasan dua kali pada dua hari berbeza di rumah Farid di Kiara Hills, dengan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi hadir pada mesyuarat pertama dan kemudian Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy hadir pada mesyuarat kedua.

“Saya beranggapan bahawa Hasan dan Ahmad Farid hanya cuba untuk membuat saya menjadi lebih akomodatif, jangan terlalu keras dengan keterangan atau jawapan kepada PAC, jangan cuba mengelak perkara tertentu kerana ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau nama Jho Low pun dianggap tabu, tidak boleh sebut,” katanya.

Muhammad Shafee: Tan Sri, apakah perkara yang dianggap "sensitif"?

Mohd Bakke: Dua perkara, satu, nama Jho Low, satu lagi PM... cuba jangan buat sebarang rujukan kepada PM, cuba cakap dari segi pengurusan, lebih kepada usaha pengurusan.

Mohd Bakke berkata beliau hanya mendengar kerana beliau tahu apa yang akan beliau perkatakan pada siasatan PAC dan beliau tidak akan menjejaskan keterangannya pada siasatan PAC.

“Saya tidak akan membenarkan sesiapa mempengaruhi saya. Jadi saya hanya akan mengaitkan perkara itu, kerana itu adalah perkara yang benar, jadi saya akan berterus terang,” kata saksi itu.

Menjawab soalan lain, saksi itu berkata Jho Low adalah perantara antara 1MDB dan Najib dan bukan nomini kepada Ahli Parlimen Pekan itu.

Najib, 68, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung.