Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Caj parkir di Kota Bharu lebih mahal berbanding Shah Alam'

Pemuda Amanah Kelantan mendesak kerajaan negeri menurunkan caj parkir yang dikenakan pihak berkuasa tempatan (PBT) di bandar Kota Bharu, Kelantan.

Desakan itu antara salah satu perkara yang dituntut mereka melalui memorandum yang dihantar kepada Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan Izani Husin.

"Kami mendesak supaya caj parkir (di Kota Bharu) diturunkan daripada 80sen kepada 60sen kerana kadar yang dikenakan oleh operator parkir swasta.

"Caj yang ditetapkan itu lebih mahal berbanding bandaraya Shah Alam, Selangor. Sedangkan Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI) selaku PBT di kawasan ini belum lagi dinaik taraf sebagai sebuah bandaraya," kata Ketua Pemuda Amanah Kelantan Hazmi Hassan kepada Malaysiakini, hari ini.

Terdahulu, dia dan barisan jawatankuasa Amanah Kelantan hadir ke Kompleks Kota Darulnaim di Kota Bharu, bagi menyerahkan memorandum tersebut kepada Izani.

Dalam perkembangan itu juga Hazmi berkata, pihaknya turut mendesak agar kerajaan negeri mengkaji semula perjanjian antara MPKB-BRI dengan operator swasta selaku syarikat ataupun konsesi yang diberi tanggungjawab menguruskan perihal parkir di kawasan tersebut.

Katanya, sejak penswastaan dilakukan MPKB-BRI dilihat hilang kuasa apabila kakitangannya diperguna untuk bekerja dengan syarikat berkenaan.

"Sepatutnya semasa menandatangani perjanjian, PBT tidak memberi kuasa penuh kepada syarikat di mana dalam pentadbiran tetap kena ada budi bicara.

"Seperti kita semua sedia maklum, menurut mana-mana akta ataupun undang-undang, setiap pesalah mempunyai hak untuk merayu dan hakim ataupun majistret ada kuasa untuk menjatuhkan hukuman ataupun sekadar memberi amaran.

"Justeru, Pemuda Amanab Kelantan mencadangkan supaya exco mengkaji balik perjanjian dan membatalkan jika ia tidak menguntungkan MPKB-BRI dan tidak mesra rakyat," katanya.

Tambahnya, kerajaan Kelantan juga perlu memberi penjelasan sejauh mana bidang kuasa pihak swasta tersebut untuk bertindak menyita atau mengunci kenderaan melanggar peraturan.

"Kami juga mahukan penjelasan adakah syarikat operator parkir itu menggunakan penguat kuasa yang dibayar gaji bulanan oleh MPKB-BRI selaku majikan namun bekerja sebagai tukang kapit tayar dengan pihak swasta?

"Apakah anggota penguat kuasa yang menjalankan kerja bagi pihak swasta itu sah dari segi perundangan? Mereka kakitangan dibayar gaji oleh PBT, tetapi digunakan oleh pihak swasta," Soal Hazmi.

Lihat Komen
ADS