Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Siapa Kamarul Zaman di PMO - Pegawai Khas PM atau satu kesilapan?

Persoalan dibangkitkan sama ada penganalisis politik dan pensyarah Kamarul Zaman Yusoff telah dilantik sebagai pegawai khas kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob atau sebaliknya.

Ini susulan hantaran oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang mengaitkannya sebegitu semasa mempromosikan simposium mengantarabangsakan bahasa Melayu, pagi tadi.

Di kedua-dua Facebook dan Twitter, PMO meletakkan jawatan Kamarul Zaman sebagai pegawai khas PM.

PMO ialah penganjur bersama simposium itu, yang akan dilancarkan oleh Ismail Sabri pada Ahad ini, dan berlangsung sehingga Selasa.

Bagaimanapun, tidak lama selepas Malaysiakini menghubungi Kamarul Zaman untuk mendapatkan butiran mengenai skop tugasnya dan bila dia dilantik, ciapan itu dipadamkan, manakala hantaran di Facebook pula telah disunting.

Kapsyen dan hataran di Facebook kini menyebut pensyarah itu sebagai pengarah simposium.

Walau bagaimanapun, sejarah suntingan hantaran masih menunjukkan jawatannya sebagai pegawai khas.

Sementara itu, catatan di Facebook oleh kerajaan negeri Melaka pula masih menyebutnya sebagai pegawai khas perdana menteri.

Buat masa ini, nama Kamarul Zaman tidak disenaraikan dalam direktori pegawai PMO.

Malaysiakini telah menghubungi PMO untuk mendapatkan penjelasan lanjut.

Ketika dihubungi, Kamarul Zaman memberitahu bahawa poster yang dimuat naik oleh PMO mempunyai sedikit kesilapan.

"Ya, ia adalah poster yang salah," katanya.

Bagaimanapun, apabila diminta mengesahkan sama ada dirinya memegang sebarang jawatan dalam PMO atau tidak sebagai pegawai atau penasihat Ismail Sabri, dia menjawab ciapan PMO itu telah dipadamkan.

Kamarul Zaman terus tidak menjawab apabila soalan yang sama diajukan kepadanya.

Laporan Free Malaysia Today memetik sumber sebagai berkata, Kamarul Zaman telah berkhidmat sebagai pegawai khas dalam soal dasar kepada Ismail selama enam bulan.

Tidak jelas sama ada dia masih berkhidmat sebagai pensyarah kanan di pusat kajian antarabangsa Universiti Utara Malaysia.

Sebelum ini pada 2020, dia pernah disenaraikan sebagai pegawai khas kepada menteri perladangan dan komoditi, Khairuddin Aman Razali.

Bagaimanapun, katanya dia tidak menerima tawaran itu dan mendakwa penyenaraian namanya itu adalah satu kesilapan.

Kamarul Zaman mungkin diingati kerana menjadi antara pengkritik paling lantang DAP, dan berdepan banyak kes dengan parti itu di mahkamah.

Membawa bahasa Melayu ke persada antarabangsa adalah impian bagi Ismail Sabri, dengan kerajaannya mengarahkan pegawai awam untuk menggunakan bahasa kebangsaan berbanding bahasa Inggeris apabila berucap di acara antarabangsa.

Berita Harian melaporkan, simposium minggu depan itu bertujuan menyediakan input bagi membantu kerajaan merangka pelan tindakan memperkasa bahasa Melayu itu.

Terdapat 70 pakar bahasa dari Malaysia, Asean, dan antarabangsa yang akan mengambil bahagian dalam aktiviti seperti membentangkan kertas kerja tentang cara menggunakan bahasa Melayu secara global.

Peserta antarabangsa termasuk mereka dari 15 negara dari Amerika Syarikat, Australia, Korea Selatan, China, Rusia, Perancis, Belanda, Brunei, dan Singapura.

Lihat Komen
ADS