Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
UKSB: Wang untuk Zahid bukan rasuah, tapi dana politik

Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini diberitahu wang yang diberikan Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) kepada bekas timbalan perdana menteri Dr Ahmad Zahid Hamidi adalah sumbangan politik.

Ia bukannya rasuah, kata bekas Pengarah UKSB Harry Lee Vui Khun ketika sesi soal balas oleh peguam Hamidi Mohd Noh yang mewakili Ahamd Zahid dalam perbicaraan kes rasuah Sistem Visa Luar Negara (VLN).

Semalam, Lee memberitahu mahkamah semalam bahawa syarikatnya membayar secara tunai dalam Dolar Singapura setiap bulan kepada Ahmad Zahid dari 2014 hingga 2018 berhubung Kontrak VLN.

Sementara itu ketika disoal seorang lagi peguam Ahmad Zahid, Ahmad Zaidi Zainal sama ada sumbangan politik itu adalah untuk Umno, saksi itu berkata menurut kefahamannya ia adalah untuk kerajaan yang memerintah.

Saksi ke-15 pendakwaan itu juga bersetuju dengan Ahmad Zaidi yang dia tidak dapat menerangkan perjalanannya atau memberikan bukti menunjukkan dia ke rumah Ahmad Zahid untuk menyerahkan wang itu.

Ahmad Zaidi: Bila anda ke Country Height, Kajang tiada siapa boleh masuk tanpa kad akses dan pemandu perlu mendaftar di pondok pengawal. Adakah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertanya kepada awak mengenai butiran itu?

Lee: Tidak

Lee juga bersetuju dengan Ahmad Zaidi bahawa SPRM tidak pernah mengarahkannya mengemukakan sebarang bukti seperti penyata Touch ‘n Go untuk menunjukkan dia pergi ke kediaman Ahmad Zahid.

Sebelum ini, semasa membacakan pernyataan saksinya, Lee berkata UKSB tidak pernah membuat pembayaran dalam akaun Umno dan tiada resit dikeluarkan atau sebarang pengesahan mengenai pembayaran itu.

Ahmad Zahid, 69, berdepan 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB ketika menjadi menteri dalam negeri untuk melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan pusat sehenti (OSC) di China dan membekalkan sistem VLN serta mengekalkan perjanjian kontrak bagi membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh Kementerian Dalam Negeri.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa meminta SG$1,150,000, RM3 juta, EURO15,000 dan US$15,000 daripada syarikat sama yang mempunyai kaitan dengan tugas rasminya.

Dia didakwa melakukan semua kesalahan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya serta Country Heights Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Perbicaraan di hadapan hakim Mohd Yazid Mustafa bersambung esok.

-Bernama

Lihat Komen
ADS