Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menyambut baik pelan induk pembangunan pendidikan yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, tetapi mahu ia turut mengambil kira suasana persekitaran bagi memastikan kejayaannya.

PKPIM juga mencadangkan agar pelan tersebut dilaksanakan dengan melibatkan semua pihak di negara ini.

"Pelan induk ini sememangnya tepat pada masanya dilancarkan, sekaligus mampu mengisi keceriaan dan meresahkan kedukaan rakyat yang melihatkan masa depan pendidikan negara kita," Presiden PKPIM, Mohd Hilmi Ramli.

Katanya, pelan induk itu yang disifatkan komprehensif dan bersepadu, mensasarkan tempoh selama lima tahun, bermula 2006 sehingga 2010 mempunyai sebuah cita- cita yang besar bagi rakyat Malaysia.

"Enam teras pelan yang dilancarkan ialah membina negara bangsa, membangunkan modal insan, memperkasa sekolah kebangsaan, merapatkan jurang pendidikan, memartabatkan kerjaya perguruan dan melonjak kecemerlangan institusi pendidikan.

"Semua teras besar yang dilancarkan ini sememangnya tidak terpisah daripada agenda besar dan strategik kerajaan yang lain, seperti Misi Nasional dan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9)," kata Hilmi dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, katanya, PKPIM mengucapkan syabas, terutama kepada Kementerian Pelajaran kerana mempermudahkan orang awam dan rakyat membaca dan menilai Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006- 2010 yang tertera di lamanweb kementerian bekenaan mulai hari ini, iaitu pada tarikh pelancarannya.

"Usaha ini mampu menimbulkan impak bersama di kalangan orang awam, memandangkan mereka turut mengikuti perkembangan Pelan tersebut.

Komitmen media

"Yang keduanya, usaha membuka ruang perbincangan dan kritikan terhadap pelan ini menunjukkan semangat yang positif dalam memperbaiki mutu Pelan ini.

"Masyarakat, sama ada golongan terpelajar, pendidik, pelajar ataupun orang awam, boleh memberi cadangan konstruktif demi melihatkan Pelan ini dapat dijalankan dengan sebaik mungkin," katanya.

Namun demikian, katanya, PKPIM ingin menekankan beberapa perkara dari segi keadaan persekitaran dan suasana yang melingkari dalam menjayakan pelan tersebut.

"Soal komitmen media dan industri hiburan yang semakin melampau tanpa batasan boleh menyebabkan misi pelaksanaan Pelan ini terbantut.

"Sebagai contoh, dalam salah satu fokus Pelan (muka surat 67) ialah meningkatkan keupayaan dan penguasaan ilmu pengetahuan, dengan strategi pelaksanaannya ialah memupuk budaya ilmu dan cintakan ilmu pengetahuan.

"Manakala pelan tindakannya ialah menggalakkan tabiat membaca melalui program Nilam dan kempen membaca," katanya.

Akan tetapi, katanya, hakikatnya ada dua kecenderungan berbeza yang sama sekali berbeza nilai, yang tidak boleh saling kerjasama antara satu sama lain.

Kaji sistem penilaian

"Mewujudkan budaya ilmu tidak boleh disekalikan dengan menggalakkan anak muda berhedonisme. Dunia tanpa batas hari ini menyebabkan nilai keseronokan yang berlebihan mengatasi minat akan ilmu. Banyak program hiburan melampau menghiasi media hari ini," katanya.

Oleh itu, Hilmi berkata, PKPIM mencadangkan juga agar pembangunan akal dan budi yang ingin dilahirkan dalam pelan ini seiring dengan pelan pembentukan hiburan yang sederhana.

"Dalam menilai prestasi sesorang pelajar, dalam pelan (m/ s 70) ada terkandung, fokus untuk memantapkan sistem pentaksiran dan penilaian supaya lebih holistik, dengan strategi pelaksanaan mengkaji semula sistem pentaksiran dan penilaian untuk menjadikan persekolahan tidak terlalu berorientasikan peperiksaan.

"Manakala pelan tindakan ialah mengurangkan bilangan matapelajaran dalam peperiksaan awam dan hanya menguji matapelajaran tertentu dalam peperiksaan awam," katanya.

Hilmi berkata, PKPIM amat setuju supaya dalam mentaksir kecemerlangan pelajar, ukuran IQ melalui peperiksaan awam bukan semata ukuran yang mutlak, kerana kini sudah wujud gejala mengejar sijil tanpa mementingkan nilai ilmu yang sebenar untuk kesenangan dunia semata.

"Pelan yang murni ini tidak akan terlaksana, sekiranya ianya diadakan berasingan dengan mana- mana dasar utama kerajaan. Malah, Pelan ini juga perlu mengatasi mana- mana agenda picisan yang tidak langsung menguntungkan generasi muda dan masa depan negara," katanya.