Anjing "rottweiler" memang mempunyai sifat semulajadi yang garang dan akan menyerang serta menggigit orang yang tidak dikenali jika tidak dilatih, kata seorang doktor veterinar di Mahkamah Majistret di Sepang semalam.

Sifat garang semulajadi anjing jenis "rottweiler" itu, tambahnya, akan berubah menjadi tidak garang sekiranya pemilik anjing itu melatihnya menjadi sedemikian, demikian menurut laporan Bernama..

Dr Noraini Abdul Rahman berkata demikian sebagai saksi pendakwa kes seekor anjing jenis itu menggigit budak lelaki berumur 10 tahun sehingga cedera parah di Puchong dua tahun lalu.

"Sekiranya tuan anjing melatih anjing itu supaya tidak menyerang orang yang tidak dikenali, maka anjing itu akan berbuat demikian kerana anjing "rottweiler ini patuh kepada arahan tuannya," katanya.

Dr Noraini memberi keterangan dalam perbicaraan kes jurujual, Chong Foo Meng, 42, yang didakwa cuai gagal mengambil langkah memadai untuk menjaga tiga ekor anjing miliknya sehingga mendatangkan cedera parah kepada Mohamad Hazman Khan Seh Zahidi.

Chong didakwa melakukan kesalahan itu di No 37, Jalan PP3/6, Taman Putra Perdana, Puchong pada 1 petang, 19 Mac 2005.

Namun begitu, Dr Noraini, 35, yang bertugas di Jabatan Perkhidmatan Haiwan Selangor berkata tingkah laku anjing ini tidak boleh diagak kerana ia bergantung kepada keadaan dan situasi yang mana anjing itu kadang-kadang akan melawan arahan pemiliknya.

Anjing betina

Oleh kerana sifat semulajadinya yang garang, anjing "rottweiler" biasanya dijadikan anjing pengawal, katanya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan pendakwa raya Wan Shaharudin Wan Ladin.

Ketika pemeriksaan balas oleh peguam Gurdit Singh yang mewakili Chong, sama ada anjing betina atau anjing jantan lebih garang, Dr Noraini berkata kedua-duanya mempunyai sifat yang sama garang.

"Bagaimanapun sifat garang anjing ini banyak bergantung kepada keadaan dan situasi. Bagi anjing betina, dia akan menjadi garang apabila mempunyai anak kerana untuk melindungi anaknya berbanding anjing jantan," kata saksi ini yang berpengalaman tujuh tahun sebagai doktor veterinar.

Dr Noraini yang mempunyai ijazah perubatan haiwan daripada Universiti Putra Malaysia berkata tugasnya sebagai doktor veterinar adalah untuk memeriksa dan merawat semua jenis anjing yang dibawa ke jabatan itu.

Ketika ditanya oleh Gurdit sama ada beliau boleh digelar pakar dalam sifat anjing "rottweiler" ini, beliau mengaku beliau bukan pakar dalam bidang itu dan belum membuat sebarang artikel mengenainya.

Perbicaraan di hadapan Majistret Shazrill Ghazali disambung esok (Khamis).