Angkatan Muda (AMK) Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendakwa pegawai Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) telah membantu calon Barisan Nasional (BN) mengisi borang pencalonannya.

"AMK mendapat maklumat bahawa SPR sungguh perihatin kepada calon BN sehinggakan pada waktu penamaan calon, pegawai SPR memberi tunjuk dan panduan kepada calon BN, Abd Aziz Kiram untuk mengisi borang," kata pemangku ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin (foto).

Beliau mendakwa, Aziz (foto) telah didapati salah mengisi borang pencalonan beliau dan mendapat bantahan, tetapi SPR menolak bantahan tersebut.

Sehubungan itu, katanya AMK tetap dengan pendirian untuk menegakkan hak demokrasi rakyat Malaysia dan mendesak Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman untuk meletakkan jawatan.

"Desakan agar Pengerusi SPR yang selama ini didapati condong kepada Umno dan BN menjadi usul tanpa bahas dalam Kongres Nasional Tahunan Angkatan Muda 2005 dan 2006 yang lalu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

AMK juga, katanya, kecewa dengan kenyataan Rashid baru-baru ini yang sanggup mengatakan bahawa alternatif tidak terlawan kekuatan dan jentera BN.

Pengundi hantu

"Kenyataan seperti itu tidak sepatutnya keluar dari seorang Pengerusi SPR," katanya sambil menambah Abdul Rashid juga tidak berani menunaikan apa yang diperkatakan sebelum ini mengenai kewujudan pengundi hantu.

"Namun, beliau masih juga meneruskan pilihanraya tanpa memberi jaminan yang betul," tegas Shamsul Iskandar.

Mengenai kenyataan Naib Ketua Umno, Khairy Jamaluddin dalam laporan malaysiakini semalam, bertajuk "Anwar dan pemimpin pembangkang penakut, kata Khairy", beliau berkat, AMK masih dalam semangat juang yang tinggi dan memerangi ketidakadilan dalam SPR.

Dalam laporan tersebut juga, Khairy bertanya di manakah slogan pembangkang satu masa dulu yang mengatakan 'lawan tetap lawan', yang jelas merujuk kepada PKR.

"Sekiranya Umno berpendapat SPR menjalankan tugas mereka dalam konteks demokrasi, Angkatan Muda mencabar Khairy dan seluruh barisan Pemuda Umno untuk 'berlawan' dalam satu gelanggang yang sama rata membenarkan Keadilan dipapar dalam media sama ada di TV mahupun di radio dan tidak memagari kebebasan media," katanya.

Justeru, Angkatan Muda mencabar Khairy untuk berdebat secara terbuka secara langsung dalam TV dengan Angkatan Muda sekiranya benar-benar tohmahan yang mengatakan bahawa SPR ini benar-benar dalam landasan demokrasi.